Allahu Akbar, saya terkedu mendengar luahan hati seorang anak yang baru kehilangan ibunya. Ada banyak sebab dan kisah kenapa dia masih tidak boleh terima dengan baik taqdirNya. Saya pujuk bahawa, insyaAllah sekarang ibunya sedang berehat dan menikmati amal solehnya.
Terus dia mengiakan, “betul ustazah, emak dah boleh rehat, sebab emak memang tak pernah rehat, ibu tunggal yang besarkan anak sejak kecil sendirian dengan pendapatan jual sayur, selepas anak dah menikah, mula menjaga satu demi satu cucu pula (anak adik beradiknya)”.
Ibunya yang telah lanjut usia mencecah 70 tahun lebih, sejak 60-an lagi menjaga 6 orang cucu sejak lahir (anak adik beradiknya), lama sungguh si Nenek mengasuh.
Cucu itu A to Z diuruskan oleh Ibu Tua ni seperti anak sendiri, dalam beberapa minggu atau beberapa bulan, hanya sehari dua atau setengah hari sahaja cucu itu pulang ke rumah ibu dan ayahnya.
Ibarat rumah cucu adalah di rumah neneknya itu, rumah emak ayah pula tempat singgah, pulang lama-lama sekali, itupun sekejap sahaja.
Bukan itu sahaja, jarak rumah sebenarnya tak jauh pun dengan rumah si Ibu Tua ni, setiap pagi boleh pula ibu ayah anak-anak ini singgah lalu untuk diberikan kain baju sendiri yang telah dibasuh mesin dan meminta untuk si ibu jemur.
Sebelah petang pula singgah lagi untuk ambil nasi dan lauk dalam mangkuk tingkat yang dimasak Si Ibu beserta kain baju yang siap dilipat. Tapi peliknya, anak tidak dibawa balik, ditinggal terus!
“Kenapa si anak buat begitu?, kenapa tak dibawa anak-anaknya pulang ke rumah, bagilah si Ibu rehat pula setelah seharian mengasuh 6 anaknya daripada sejak lahir, berturut pula tu setahun demi setahun”, antara soalan yang bertubi-tubi saya tanya.
Alasannya, penat kerja, tak larat nak jaga, sibuk cari rezeki pagi sampai malam. Walaupun kedua-duanya kerja makan gaji, tapi kerana telah berbuat aniaya begitu, tetaplah hidup selalu tak cukup.
Bukan tiada duit untuk dihantar pengasuh, bila ditegur akan perbuatan tersebut, diberi alasan “emak pun tidak berbunyi, engkaulah pula yang lebih”.
Bila saya ditanya, berdosa tak anak tu buat begitu pada si Ibu?, kerana ibunya memang tidak merungut atau berbunyi apa, meminta untuk menjaga atau tidak menjaga cucu pun tidak.
Maksudnya, ibunya ni ikutkan sahaja apa yang si anak lakukan. Tak mahu lihat anak saling bergaduh, si ibu banyak diam.
Wanita ini memang luar biasa sabarnya. Ditinggalkan suami untuk menikahi wanita lain diusia sangat muda. Selepas anak ke enam lahir, rapat hampir setiap tahun. Si ibu tak pernah cerita buruk si suami, walaupun nafkah anak tidak diberi.
Ibu ini besarkan anak dengan hasil menjual sayur, tidak pernah memiliki kenderaan, ke mana sahaja semua anak dibawa bersama, mencari barang ke pasar atau sebarang urusan, bawa anak kecil berenam menaiki bas dan lain-lain. Semua diurus sendiri. Bil air, elektrik dll memang biasa tak mampu dibayar. Hidup sangat susah dan dhaif. Tapi tetap selalu senyum dan menceriakan hati anak-anak.
Banyak lagi kisah sayu Ibu Tua yang hebat ini.
Ini bukan kisah lama, tapi kisah baru anak generasi hari ni. Walaupun Ibu Tua ini redha, moga anak yang lakukan begitu dapat tebus balik kesilapan besar ini, jika tidak bimbang ada dosa yang berat ditanggung, kerana telah menjadikan seorang ibu yang sepatutnya dia berkhidmat, bukan sebaliknya menjadikan si ibu khidmat kepadanya.
Inilah di antara tanda jelas akhir zaman, Ibu melahirkan tuan! Kisah begini sangatlah banyak, hanya versi yang berbeza. Ambil pengajaran dan muhasabah semula apa yang sedang kita lakukan.