Saya membesar dalam keluarga yang sangat strict dalam bab tudung. Saya diwajibkan bertudung labuh sejak usia 5 tahun. Saya tak pernah tanggalkan tudung sehingga kini.
Walaupun ayah saya sangat strict dengan mak saya dan adik-beradik perempuan saya dalam bab tudung, tapi saya perhatikan nenek saya (ibu kepada ayah saya) tidak pernah bertudung litup seperti saya atau mak saya.
Sepanjang hayatnya, nenek saya hanya berselendang jarang, selalunya warna putih dan bersulam. Sekadar buat syarat menutup kepala setiap kali keluar rumah.
Arwah nenek akan bersanggul, kemudian letakkan selendang di kepala, hujung selendang disimpang ke kiri dan ke kanan.
Sebagai anak kecil yang naif, saya pernah bertanya kepada ayah saya, nenek saya tak takutkah dibakar api neraka kerana tidak bertudung sempurna?
Itulah yang diajar kepada saya sejak kecil. Syurga atau neraka bagi orang perempuan ditentukan oleh tudung.
Taat kepada suami, solat lima waktu, berpuasa, berbuat kebaikan, susah-payah mengandung dan melahirkan anak, semua itu sia-sia sahaja jika tidak bertudung. Tetap perempuan itu akan dibakar di neraka.
Ayah saya selalu kata, orang zaman dahulu tidak cukup ilmu seperti orang zaman sekarang. Kerana itulah orang zaman dahulu belum tahu dan sedar bahawa tudung itu wajib. Ayah kata, jika kita jahil, Allah akan ampunkan kita.
Tapi nenek saya tidak jahil. Nenek saya juga hidup pada zaman saya. Kalau saya sudah diajar bahawa menutup rambut itu wajib, tentulah nenek saya juga ada dengar mengenai hukum menutup rambut tersebut.
Sebagai anak kecil yang naif, saya selalu berdoa agar nenek saya sempat bertaubat sebelum mati. Nenek saya sangat baik orangnya. Rugi kalau masuk neraka sebab tak pakai tudung, fikir saya.
Semasa usia saya 12 tahun, nenek saya meninggal dunia. Pada waktu itu saya rasa sangat sedih sebab nenek saya belum bertudung dengan sempurna, sehinggalah ke akhir hayatnya.
Sebenarnya selain sedih, pada waktu itu saya juga rasa sangat-sangat takut.
Saya rasa nenek saya akan masuk neraka. Confirm masuk neraka. Demikian keyakinan saya.
Namun saya terfikir, tergamakkah Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang membakar nenek saya yang sangat baik, hanya kerana dosa tidak bertudung?
Perasaan sedih dan takut ini membuatkan saya mula berfikir dan berfikir, kemudian mempersoalkan dan mempersoalkan.
Benarkah hukum tutup rambut yang sampai kepada saya ni? Bagaimana jika ulama’ yang membuat tafsiran tentang hukum tersebut, sebenarnya telah terkhilaf? Apakah yang membuatkan ulama’ obses sangat tentang perihal rambut wanita?
Tak mungkin Tuhan saya begitu kejam. Kerana sehelai kain di atas kepala, orang perempuan beramai-ramai menjadi penghuni neraka.
Semakin saya membesar, semakin saya mampu berdamai dengan persoalan-persoalan agama di benak saya.
Kalau tanya saya sekarang, saya akan jawab dengan yakin dan pasti, nenek saya takkan masuk neraka kerana tudung.
Allah Maha Agung. Terlalu lekeh jika Tuhan Yang Maha Agung mengukur ketaatan hamba-Nya hanya melalui tudung.
Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Adibah Noor.
Allah Maha Bijaksana. Bukan macam manusia yang mengambil alih tugas Tuhan. Menentukan syurga neraka orang perempuan mengikut labuhnya tudung.