Kit Siang ajak Annuar bersua muka

Kit Siang ajak Annuar bersua muka

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyelar tohmahan yang dibuat Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa terhadapnya.

Annuar Musa seperti dilaporkan media kelmarin menolak kesediaan Kit Siang untuk menyertai siri jelajah penerangan kerajaan berhubung penubuhan pasukan petugas khas bagi skandal forex.

Bekas menteri Umno itu membuat tuduhan tidak berasas dengan mendakwa Kit Siang kononnya tidak menghormati semangat Rukun Negara dan Islam sebagai sebab kepada penolakan tersebut.

Kit Siang menegaskan bahawa selama 51 tahun perjuangan politiknya beliau meraikan malah menghormati kepelbagaian agama, kaum, bahasa dan budaya sebagai asas kepada pembentukan Malaysia.

Justeru, Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyifatkan tuduhan ahli majlis tertinggi UMNO itu sebagai berniat jahat, penuh kebencian dan bersifat prejudis malah tidak patriotik.

“Saya bersedia untuk mendedahkan segala penipuan dalam kenyataan Annuar Musa tersebut dalam satu sidang media yang disertai saya dan beliau.

“Annuar boleh namakan mana-mana tempat dan masa dalam tempoh 48 jam, saya akan berada di sana,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau turut membayangkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Ketereh berkenaan ekoran kenyataannya itu.

“Apa-apa pun, Annuar telah memberikan kerja lebih kepada peguam saya untuk menyemak tuduhan berunsur fitnah beliau bagi mempertimbangkan kemungkinan tindakan perundangan,” ujarnya.

Kit Siang sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk menyertai siri jelajah UMNO-BN bagi menerangkan keputusan kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas menyiasat skandal kerugian forex oleh Bank Negara pada 1990.

Beliau turut menawarkan diri menyertai pasukan petugas khas berkenaan jika skandal 1MDB dan Bumiputera Malaysia Finance (BMF) turut disiasat.

TAGS