Malaysia Dateline

Kit Siang akan bertanding Jawatankuasa Pusat DAP dan bersedia dikalahkan

Veteran DAP, Lim Kit Siang menyatakan akan bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP yang akan berlangsung Jun tahun ini.

Bagaimanapun katanya, beliau bersedia untuk dikalahkan selepas 55 tahun berada di dalam parti memperjuangkan impian Malaysia.

Beliau juga menyatakan tidak akan menyasarkan kedudukan tertinggi dalam kepimpinan baru DAP itu.

“Saya ingin mengulangi bahawa DAP tidak mengamalkan dasar yang mengenepikan kaum tertentu seperti Cina, India, Kadazan mahupun iban.

“Kita mahu rakyat Malaysia menerima bahawa rakyat Malaysia akan mempunyai pelbagai identiti – etnik, agama, linguistik, budaya, wilayah – tetapi yang pertama dan terpenting bahawa mereka semua adalah rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Kit Siang berkata, sepanjang perjalanannya ke negara luar termasuk China, beliau tidak pernah merasakan China itu seperti negaranya seperti mana perasaannya di tanah Malaysia.

“Saya mahu orang Cina Malaysia seperti rakyat Malaysia yang lain. Apa jua bangsa, agama, bahasa, budaya atau wilayahnya, diperlakukan sebagai warganegara Malaysia kelas pertama. Ini adalah satu-satunya cara untuk merealisasikan Impian Malaysia,” katanya lagi.