Malaysia Dateline

Kit Siang anggap Menteri Kesihatan tidak berkredibiliti

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba sepatutnya fokus terhadap angka kadar lonjakan harian Covid-19 agar turun kepada julat dua angka atau letak jawatan jika gagal berbuat demikian, tegas Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, menteri Umno berkenaan harus berhenti berdolak-dalik berhubung gelombang keempat penularan pandemik Covid-19.

“Untuk selama lebih daripada setahun, Malaysia adalah satu-satunya negara yang beroperasi tanpa seorang Menteri Kesihatan yang efektif dan berkredibiliti.

“Menteri Kesihatan telah melumpuhkan dirinya sendiri dengan pelbagai kesilapan, seperti ‘penawar air suam kepada Covid-19’, ‘500 negara’ dan ’15 negeri di Malaysia’.

“Kini, beliau (Adham) telah melakukannya sekali lagi dengan mengatakan yang Malaysia tidak akan berhadapan dengan gelombang keempat wabak ini selagi mana peningkatan harian kes Covid-19 dalam negara belum mencatatkan sifar kes!” ujarnya.

Semalam, Adham berkata, negara masih lagi mengharungi gelombang ketiga Covid-19 dan belum memasuki gelombang keempat penularan Covid-19.

Jelasnya, sesuatu penularan hanya dianggap gelombang seterusnya jika jangkitan tempatan ketika gelombang semasa sudah mendatar atau mencatat kes sifar selama beberapa hari sebelum berlaku lonjakan kes baharu secara mendadak.

Oleh sebab itu, beliau berpendapat gelombang keempat Covid-19 hanya boleh berlaku jika gelombang ketiga telah dapat diturunkan atau direkodkan hingga sifar dan kemudian penularan bermula kembali.

Mengulas lanjut, Kit Siang menyifatkan Ahli Parlimen Tenggara, Johor itu sebagai “bijak”.

“Adakah ini jawapan terbaik Adham kepada seruan saya supaya Parlimen dipanggil bersidang semula untuk berhadapan dengan kemungkinan gelombang keempat ini?” tambahnya lagi.