Malaysia Dateline

Kit Siang cabar Noor Hisham tunjuk bukti ‘superspreader’ di Parlimen

Ahli Parlimen Iskandar Putri Lim Kit Siang meminta Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham memberi bukti kononya kejadian ‘superspreader’ yang boleh menjangkitkan ramai orang dengan Covid-19 berkemungkinan berlaku sekiranya sidang khas Parlimen diteruskan.

Katanya, kenyataan Noor Hisham mengenai kejadian ‘superspreader’ di Parlimen amatlah malang sekali.

“Di manakah buktinya? Atau adakah kenyataan ini hanya untuk menakut-nakutkan Ahli-ahli Parlimen?

“Noor Hisham perlu membuktikan kenyataan beliau ini dengan fakta perubatan,” kata Kit Siang.

Terdapat 11 kes daripada 1,183 orang yang melalui ujian saringan.

Beliau berkata, sekiranya mereka ini semua telah disaring kadar kes positif di Parlimen ini hanyalah kira-kira 1%, jauh daripada status ‘superspreader’.

“Satu lagi alasan kononnya mungkin berlaku kejadian ‘superspreader’ adalah varian baharu? Adakah kajian genom telah dijalankan, jika ya, apakah keputusannya?” soalnya.

Jelas Kit Siang, sidang Parlimen yang melibatkan Ahli-ahli Parlimen yang telah menerima vaksinasi lengkap perlu diteruskan.

“Perdana Menteri sendiri telah menerima vaksinasi lengkap. Mengapa beliau tidak hadir ke Parlimen untuk menjawab persoalan-persoalan yang ditanya di seluruh negara?” katanya lagi.