Malaysia Dateline

Kit Siang cadang diwujudkan ‘Anugerah Adib’

Penasihat DAP Lim Kit Siang mencadangkan agar kerajaan mewujudkan anugerah tahunan bagi mengenang pengorbanan anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Anugerah itu akan dipanggil sebagai “Anugerah Adib” akan menjadi satu cara untuk menghormati rakyat Malaysia yang berdedikasi untuk membina Malaysia yang baru dan bersatu.

“Adib bukan hanya pahlawan Melayu, tetapi seorang pahlawan untuk semua rakyat Malaysia.

“Dia mesti dihormati sebagai inspirasi untuk membina Malaysia yang baru dan bersatu yang boleh dipamerkan sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang berjaya,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mencadangkan Anugerah Adib dilancarkan pada Hari Kebangsaan tahun depan, yang jatuh pada 31 Ogos, sebagai satu cara untuk memperingati perkhidmatan dan pengorbanannya.

“Ada yang ingin menggunakan kematian Adib untuk menyebarkan ketegangan kaum dan agama di negara ini.

“Saya tidak fikir perkara itu, apa yang ingin dilihat oleh Adib (sekiranya masih hidup), sudah pasti dia mahu mendedikasikan hidupnya untuk membina sebuah bangsa Malaysia yang pelbagai, harmoni, berjaya dan kemakmuran pelbagai kaum, pelbagai bahasa, pelbagai agama dan pelbagai budaya, ujar Kit Siang.

Muhammad Adib, 24, mengalami kecederaan parah selepas diserang ketika insidin rusuhan kuil pada 27 November lepas. Dia meninggal dunia di pada 17 Disember jam 9.41 malam di Institut Jantung Negara (IJN)

Setakat ini, 24 orang telah dituduh berhubung rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.