Kit Siang dakwa Amanat Hadi punca tragedi Memali

Kit Siang dakwa Amanat Hadi punca tragedi Memali

Jika Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung tragedi Memali dibentuk, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah antara individu yang perlu dihadapkan ke jawatankuasa itu bagi menentukan sama ada amanat yang pernah dikeluarkannya mempunyai kesan terhadap peristiwa berdarah berkenaan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang membuat cadangan itu sambil merujuk kepada ucapan Abdul Hadi itu pada 7 April 1981 yang kemudiannya dinamakan sebagai Amanat Hadi yang antara lain menuduh Umno-Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan kafir yang memerintah seperti penjajah.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata demikian mengulas kesediaan kerajaan Umno-BN untuk mempertimbangkan penubuhan RCI bagi menyiasat kejadian yang berlaku pada 1985 di Memali, Kedah itu sehingga meragut 18 nyawa.

Pemerhati politik mahupun pemimpin Pakatan Harapan (PH) melihat langkah kerajaan itu sebagai serangan peribadi terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa kononnya adalah dalang di sebalik tragedi berkenaan.

Cadangan penubuhan RCI tragedi Memali itu muncul selepas jawatankuasa yang sama ditubuhkan bagi menyiasat kerugian pertukaran asing (forex) oleh Bank Negara yang berlaku pada 1990-an sewaktu Tun Mahathir mentadbir negara sebagai Perdana Menteri.

Tun Mahathir yang kini merupakan Pengerusi PH merupakan pemimpin yang lantang menyerang tanpa henti pentadbiran Datuk Seri Najib Razak ekoran skandal mega melibatkan firma pelaburan berdaulat milik negara, 1MDB.

{loadposition myposition}

Kit Siang dalam kenyataannya hari ini turut memetik Amanat Hadi seperti berikut:

“Percayalah, kita menentang Umno, bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

“Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku, agama suku.”

CATEGORIES
TAGS