Kit Siang desak Pandikar dedah jumlah soalan 1MDB ditolak Parlimen sejak 2013

Kit Siang desak Pandikar dedah jumlah soalan 1MDB ditolak Parlimen sejak 2013

Rakyat berhak untuk tahu berapa banyak soalan, termasuk mengenai  skandal 1MDB, serta senarai penuh kandungan semua pertanyaan tersebut oleh wakil-wakil rakyat yang telah ditolak oleh Parlimen sejak Pilihan Raya Umum (PRU -13)  2013.

Sehubungan itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, menggesa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Mulia Amin, mendedahkan jumlah dan senarai penuh soalan yang ditolak untuk dibahas di Parlimen sejak pilihanraya umum lalu, bagi tujuan penelitian Ahli Parlimen dan masyarakat umum.

“Pandikar harus dedah semua soalan yang beliau tolak untuk lima minggu persidangan Parlimen akan datang, untuk diteliti bukan sahaja oleh Ahli Parlimen malah rakyat Malaysia mengenai justifikasi dan rasionalnya berbuat demikian.

“Malah, Pandikar juga perlu memberitahu umum jumlah dan senarai soalan dari kedua-dua belah pihak pembangkang dan kerajaan yang ditolak Speaker untuk setiap persidangan Parlimen sejak Pilihan Raya Umum 5 Mei 2013,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah turut meminta Pandikar menjelaskan kepada umum mengapa begitu banyak soalan yang diajukan di Dewan Rakyat ditolak, khususnya soalan berkaitan skandal mega berkembar yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Menurutnya, tindakan Speaker Dewan Rakyat menolak soalan-soalan tersebut seolah-olah mahu mencipta ilusi bahawa skandal mega yang melibatkan pemimpin nombor satu negara sudah selesai, sedangkan skandal yang menjadi perhatian dunia itu masih menghantui rakyat dan mengundang pelbagai persoalan yang tidak berjawab.

“Walaupun Dewan Rakyat baru bersidang selama seminggu, tidak boleh disangkal bahawa isu yang penting dan terus menjadi keutamaan ketika ini ada berkaitan skandal mega berkembar Najib.

“Walaupun Perdana Menteri sedaya upaya mencipta ilusi bahawa isu itu sudah tidak menjadi isu kepada negara dan rakyat, telah selesai sepenuhnya, ia tetap menjadi perhatian rakyat dan warga global,” tambah beliau.

Justeru, kata Kit Siang, kerajaan harus menghentikan lamunan ilusi itu dan bekerja keras untuk menjawab seribu satu persoalan berkaitan skandal “derma” RM2.6 bilion dan salah guna dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM55 bilion itu.

Sepanjang minggu ini, soalan-soalan Parlimen tentang skandal mega tersebut termasuk siasatan Peguam Negara Switzerland terhadap 1MDB daripada wakil rakyat DAP dan PKR telah ditolak oleh Pandikar dengan pelbagai alasan

TAGS