Malaysia Dateline

Kit Siang gesa kerajaan adil edar vaksin kepada petugas kesihatan

Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang menyeru agar kerajaan mengedarkan vaksin Covid-19 secara adil dan saksama dengan memberikan keutamaan kepada para petugas kesihatan.

Beliau menegaskan amatlah penting supaya kerajaan mengambil berat terhadap aduan-aduan mengenai masalah ketidaksamaan vaksin bagi pandemik itu.

“Saya menyeru kerajaan untuk menggunakan konsep kesaksamaan vaksin di mana keutamaan diberikan kepada para petugas kesihatan untuk memastikan kejayaan program vaksinasi Covid-19 di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas isu yang dibangkitkan petugas barisan hadapan terutama seperti dikatakan oleh Dr Rafidah Abdullah di Twitter mengenai masalah ‘Dua Darjat 2.0’.

Doktor perubatan itu berharap pihak berkuasa untuk menjaga kebajikan petugas kesihatan sama ada di hospital, swasta dan komuniti bukannya yang berdarjat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketika mengumumkan tahun ini sebagai Tahun Petugas Kesihatan dan Penjagaan menegaskan pentingnya pengedaran vaksin Covid-19 secara pantas dan adil untuk menamatkan pandemik.