Malaysia Dateline

Kit Siang gesa Khairy jawab mengapa kes Covid-19, BID masih tinggi

Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang menggesa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan mengapa Malaysia tidak dapat mengurangkan kes harian baharu Covid-19 lebih cepat seperti dilakukan Indonesia.

Menurutnya, Malaysia mencatatkan 13,215 kes jangkitan baharu pada 15 Julai sedangkan Indonesia telah mengurangkan kes harian baharu Covid-19 mereka sebanyak lebih 96 peratus.

“Mengapa Indonesia boleh mengurangkan kes harian baharu Covid-19 mereka sebanyak lebih 96 peratus dalam masa dua bulan – dari 56,757 kes pada 15 Julai kepada 1,932 kes semalam, tetapi Malaysia tidak berjaya melakukan perkara yang serupa?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemimpin veteran DAP itu juga menuntut Khairy menjawab tiga persoalan iaitu, bilakah kes harian baharu Covid-19 di Malaysia akan turun ke bawah paras 10,000 kes; turun ke bawah paras 1,000 kes dan Malaysia kembali mencatatkan jumlah kes tiga angka seterusnya bila Malaysia akan kembali mencatatkan jumlah kes dua angka.

Dalam masa sama, Kit Siang menggesa Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menjelaskan sebab lonjakan kes kematian di luar hospital (BID) akibat Covid-19.

“Jumlah kes kematian akibat Covid-19 yang dicatatkan di negara ini semalam masih tinggi (minggu keempat Khairy memegang jawatan Menteri Kesihatan) dengan 92 daripadanya adalah kes kematian akibat Covid-19 yang dibawa ke hospital (BID).

“Khairy harus menjelaskan mengapa beliau setakat ini masih gagal mengurangkan angka kes BID, kerana jumlah kes BID dalam tempoh tiga minggu beliau menjadi Menteri Kesihatan jauh lebih tinggi berbanding tempoh tiga minggu terakhir Menteri Kesihatan sebelumnya,” bidas Kit Siang.

Beliau turut menegaskan Khairy harus menjelaskan mengapa Malaysia terus mengatasi banyak negara dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 tertinggi.

Menurutnya, Malaysia di bawah pengawasan Khairy sebagai Menteri Kesihatan bakal mengatasi tiga negara lain pada akhir minggu ini dan berada di kedudukan ke-20 dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 tertinggi di dunia.

“Malah, jumlah kes BID sepanjang tujuh hari yang lalu adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah kes yang direkodkan pada minggu pertama bulan Ogos. Mengapa perkara ini berlaku?” soal Kit Siang lagi.

Setakat semalam, sebanyak 2,112,175 kes Covid-19 direkodkan dengan dua hari berturut-turut mencatatkan angka sekitar 14,000 kes.

Semalam, kes harian baharu di Malaysia adalah sebanyak 14,345 iatu jumlah terendah yang direkodkan sejak 26 Julai lalu iaitu 14,516 kes.

Tujuh negeri pula mencatatkan angka kes baharu empat angka dengan Sarawak kekal di carta teratas 3,611 kes.