Malaysia Dateline

Kit Siang gesa segera keluar dari senarai negara dengan prestasi terburuk Covid-19

Kerajaan perlu segera mencari jalan membawa Malaysia keluar dari senarai negara dengan prestasi terburuk dalam menangani wabak Covid-19.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, beberapa negara yang menunjukkan prestasi buruk sebelum ini telah pun mula memperlihatkan bibit-bibit kejayaan dalam perang melawan penularan wabak itu.

Beliau menggesa agar Kabinet dan Parlimen yang akan bersidang pada 26 Julai nanti melancarkan gerakan kebangsaan yang melibatkan semua lapisan masyarakat bagi membendung jangkitan yang tidak kelihatan itu.

“Sudah lebih setahun saya menggesa agar pendekatan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’ diterapkan, namun sehingga hari ini hasrat itu masih belum tercapai.

“Gerakan kebangsaan itu kelak perlu mengambil kira pandangan pakar yang menjangkakan pandemik ini akan berpanjangan sehingga penghujung tahun 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Lim berkata, berdasarkan peningkatan terkini jangkitan Covid-19, Malaysia bakal memintas Jepun pada 10 hari sebelum pembukaan temasya kejohanan Olimpik Tokyo pada 23 Julai nanti dan dijangka melepasi angka sejuta kes Covid-19 dengan lebih 9,000 kematian menjelang pertengahan Ogos.

Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap perkembangan Malaysia yang bakal menyertai senarai 34 buah negara dengan 800,000 kes menjelang esok (atau hari ini, jika negara merekodkan 7,307 kes baharu).

“Ini adalah fakta yang harus dipertimbangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini untuk mengadakan sidang Parlimen yang sewajarnya bersesuaian dengan krisis pandemik Covid-19 yang semakin memburuk di negara ini,” katanya lagi.