Kit Siang-Guan Eng dibenar masuk Sarawak kerana berkelakuan baik,kata Adenan

Kit Siang-Guan Eng dibenar masuk Sarawak kerana berkelakuan baik,kata Adenan

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dibenarkan masuk ke Sarawak ketika pilihan raya negeri ini kerana mereka berdua disifatkannya sebagai berkelakuan baik kata Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tan Sri Adenan Satem Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dibenarkan masuk ke Sarawak ketika pilihan raya negeri ini kerana mereka berdua disifatkannya sebagai berkelakuan baik kata Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

 Beliau berkata larangan akan dikeluarkan terhadap ahli Parlimen pembangkang dan pihak lain sekiranya mereka bertindak melampaui batas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan berlangsung 7 Mei ini.

Bagaimanapun, tegasnya, jika mereka mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur perkauman dan melampaui batas, beliau akan meminta Jabatan Imigresen supaya mereka meninggalkan negeri ini.

“Jadi ini adalah amaran dari saya. Jadi berkelakuan baiklah.

“Saya tidak mahu seperti apa yang berlaku dalam pilihan raya lepas. Ramai ahli politik Malaysia Barat datang ke Sarawak dan mereka buat kacau,” katanya dalam sidang media malam tadi seperti dilapor Malaysiakini.

(dari kiri) Lim Guan Eng dan Lim Kit SiangSebelum ini sekurang-kurangnya 40 ahli Parlimen pembangkang, aktivis, dua ahli Umno dan ahli akademik telah dilarang masuk ke Sarawak.

“Akan ada beberapa larangan di waktu akan datang (sekiranya melampaui batas). Kita tidak mahu beberapa aspek budaya politik di Malaysia Barat, yang tidak boleh diterima oleh rakyat Sarawak, dibawa ke negeri ini.

“Biar saya jelaskan bahawa saya melarang kemasukan bukan sahaja pembangkang, tetapi juga ahli Umno dan parti komponen lain jika mereka tidak berkelakuan baik.

“Saya perlu melindungi kepentingan rakyat Sarawak,” katanya kesal.

Sementara itu, Adenan turut mengulas mengenai pertembungan enam kerusi antara PKR dan DAP dengan berkata, pembangkang dilihat dalam keadaan kucar-kacir.

“Mereka tidak boleh mendapatkan keputusan bersama. Orang kata tidur sama-sama, tapi mimpi lain-lain. Dan saya jangkakan keadaan akan menjadi semakin buruk.

“Saya fikir ia menunjukkan ketidakserasian di antara mereka. Dan jika mereka (PKR dan DAP) bertanding (bersama-sama)… keutamaan mereka bukan demi perpaduan (rakyat Sarawak) yang sebenar,” kata Adenan.

Enam kerusi terbabit adalah Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong.

Namun Adenan berkata pengundi tidak harus memandang rendah cita-cita pakatan pembangkang untuk mengambil alih Sarawak.

“Jangan terpedaya dengan Lim Kit Siang bercakap tentang mereka semata-mata mahu mengurangkan majoriti dua pertiga. Jika benar mereka hanya mahu mengurangkan majoriti dua pertiga, kenapa mereka bertanding begitu banyak kerusi?

“Mengapa mereka bertanding banyak kerusi. Sudah menjadi hasrat mereka untuk membentuk kerajaan, bukan semata-mata untuk mengurangkan (majoriti kami),” katanya.

Adenan berkata, sekiranya DAP yang bertanding dibanyak kerusi itu menang, maka Sarawak akan ditadbir oleh Malaysia Barat.

TAGS