Kit Siang jemput bos SPRM ke Perhimpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi

Kit Siang jemput bos SPRM ke Perhimpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mempelawa Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad hadir ke Perhimpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi pada 14 Oktober depan.

Ahli parlimen Gelang Patah itu berkata, Dzulkifli perlu menjelaskan bagaimana institusi itu mampu membanteras rasuah dan menjelaskan pendirian berhubung skandal 1MDB.

“Kalau sekretariat Pakatan Harapan setuju, kita jemput Dzulkifli datang ke perhimpunan 14 Oktober ini untuk jelaskan kepada rakyat bagaimana SPRM berusaha hapuskan kleptokrasi 1MDB.

“Kita tunggu Dzulkifli sama ada dia rela untuk datang dan jelaskan bagaimana dia boleh lawan kleptokrasi,” katanya di pelancaran PH Johor di Dataran Taman Dahlia, Tampoi malam tadi.

Perhimpunan anjuran PH 14 Oktober ini akan diadakan di Petaling Jaya bagi menjelaskan kepada rakyat mengenai isu 1MDB.

Terdahulu, Kit Siang dalam kenyataan semalam membidas Dzulkifli dengan menyatakan semua mata turut memerhatikan suruhanjaya itu dan sama ada beliau dapat memimpin badan anti rasuah yang bersih.

Beliau berkata, orang ramai khususnya sedang menilai pendirian Dzulkifli mengenai skandal 1MDB.

“Dzulkifli harus menyedari bahawa jika dia bertindak seperti monyet yang mempunyai mata tetapi tidak melihat, ada telinga tetapi tidak mendengar dan mulut tetapi tidak berbicara mengenai skandal 1MDB, beliau akan menjadikan SPRM sebagai agensi anti-rasuah kleptokratik pertama di dunia,” kata Lim dalam kenyataan semalam.

Beliau mengulas kenyataan Dzulkifli semalam yang mengatakan rakyat akan menghakimi komitmen serta kesungguhan pembangkang membasmi rasuah dan salah guna kuasa.

 

9.3
OVERALL SCORE
: 8.0
2 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS