Malaysia Dateline

Kit Siang kecewa Khairy tidak penuhi janji, jelaskan angka kematian BID

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang kecewa apabila Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memungkiri janjinya untuk membuat penjelasan mengenai angka kematian Brought-in-dead atau kematian di luar hospital (BID) yang tinggi.

Beliau berkata, angka kematian BID jelas sekali jauh lebih tinggi dari angka yang diumumkan setiap hari, susulan kenyataan Khairy bahawa angka kematian tidak semestinya daripada 24 jam yang lepas kerana terdapat backlog yang panjang untuk mengesahkan punca kematian.

“Saya amat kecewa kerana Khairy tidak mengumumkan data baharu yang diterimanya kerana beliau telah berjanji untuk bersifat lebih telus dan memberikan maklumat berkenaan Covid-19 yang lebih terperinci kepada orang awam.

“Rakyat Malaysia masih menunggu hasil daripada janji Khairy untuk menyelesaikan masalah kadar kematian di bawa ke hospital yang tinggi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Khairy memaklumkan bahawa kadar kematian harian akibat Covid-19 di Lembah Klang tidak merujuk kepada keadaan sebenar disebabkan data kes tertunggak atau backlog.

Katanya, data yang dikeluarkan setiap hari sejak kebelakangan ini bukan kematian dalam tempoh 24 jam, sebaliknya ia adalah data yang dimasukkan selepas kemas kini dibuat.