Malaysia Dateline

Kit Siang kesal Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19 masih belum ditubuhkan

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang kesal apabila Dewan Rakyat masih tidak menunjukkan sebarang tanda untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19 bagi mengadakan pendengaran awam dari pakar dalam negara untuk menangani wabak Covid-19.

Beliau berkata, terdapat kemungkinan Malaysia bakal mengatasi kedudukan China jika peningkatan kes hari ini dan esok melebihi paras 1,895 kes.

Untuk rekod, Malaysia mencatat keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 84,846 kes manakala China pula sebanyak 86,741 kes.

“Terdapat kemungkinan Malaysia mengatasi kedudukan China menjelang hari ini memandangkan peningkatan harian sebanyak 1,937 dan 2,234 kes pernah dicatatkan pada 10 dan 12 Disember.

“Kejadian ini menjadi satu titik hitam kepada Kerajaan Muhyiddin dan sistem kesihatan awam di Malaysia.

“Rakyat Malaysia perlu menuntut satu strategi yang melibatkan keseluruhan kerajaan masyarakat dalam melawan Covid-19 memandangkan negara kita bakal mengatasi kedudukan China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Kit Siang turut membangkitkan persoalan sama ada sidang Dewan Negara nanti boleh menunjukkan bahawa mereka lebih memahami keperluan, masalah, dan cabaran yang dihadapi oleh negara dan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa berkenaan.