Malaysia Dateline

Kit Siang nafi PH hilang wibawa selepas MoU

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang membidas penganalisis dan pengulas politik tertentu yang menganggap pembangkang hilang kewibawaan susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik hari ini.

Pemimpin veteran DAP itu berkata, sejarah politik dunia membuktikan banyak contoh “keperluan untuk bersatu apabila berhadapan dengan musuh yang membawa maut.”

Beliau menyenaraikan contoh tersebut seperti Barisan Bersatu Mao Tse-Tung/Chiang Kai Shek dalam melawan pihak Jepun, atau Kerajaan Perpaduan Winston Churchill/Clement Attlee melawan Nazi Jerman pimpinan Hitler.

“Churchill telah mengutuk keras Parti Buruh Attlee sebagai sosialis, tetapi apabila Britain berhadapan dengan ancaman bahaya, Churchill dan Attlee bukan sahaja membentuk kerajaan perpaduan, tetapi mereka juga membentuk pakatan dengan Stalin dari Kesatuan Soviet untuk menentang Hitler.

“Penting untuk diingati, semasa majlis pengebumian Winston Churchill, salah seorang pengiring keranda beliau adalah Clement Attlee, Timbalan Perdana Menteri beliau semasa perang, yang menegaskan beliau mahu melaksanakan penghormatan terakhir tersebut walaupun tidak berapa sihat,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kit Siang, kedua-dua tokoh terbabit membentuk pakatan merentasi parti politik yang menyelamatkan negara mereka daripada kejahatan Nazisme dan selepas Hitler ditewaskan, mereka bertanding melawan satu sama lain di peti undi untuk memimpin Britain pasca Perang Dunia.

“Persepakatan waktu perang selama lima tahun di antara dua pemimpin, yang disusuli dengan sedekad persaingan waktu aman di antara mereka berdua,” katanya.

Petang tadi, Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) melakar sejarah apabila julung kali memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, MoU antara pihak pembangkang dan kerajaan hari ini adalah satu detik bersejarah dan menjadi satu ujian kritikal untuk menentukan sama ada semua rakyat Malaysia dapat bersatu untuk melawan Covid-19.

“Semua perbezaan akan diketepikan dahulu dalam berhadapan dengan wabak Covid-19 yang mengancam kehidupan dan kewujudan kita, yang telah mengorbankan tujuh kali ganda lebih ramai orang di Malaysia berbanding dengan tragedi 9/11 di AS, dengan hampir 21,000 orang terkorban akibat wabak ini dalam tempoh 21 bulan yang lepas.

“Kita perlu letakkan moratorium ke atas semua perbezaan kita sehingga pilihan raya umum yang akan datang dalam tempoh 10 ke 18 bulan dari sekarang untuk bersatu padu dan menumpukan usaha untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19,” katanya lagi.