Malaysia Dateline

Kit Siang persoal tujuan Jeffrey pasang kain rentang Muhyiddin di Batu Sumpah

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan tujuan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Jeffrey Kitingan yang memasang kain rentang mengumumkan kehadiran Muhyiddin di Batu Sumpah Keningau pada acara Sambutan Hari Malaysia dua hari lalu.

Lim berkata, Muhyiddin sama sekali tidak hadir ke acara berkenaan sebaliknya beliau menghadiri acara di Kota Sibu.

Beliau juga bertanya sama ada Jeffrey sudah mendapatkan kebenaran Perdana Menteri untuk menaikkan kain rentang tersebut atau hanya mahu menarik orang ramai ke majlisnya.

“Adakah Jeffrey telah mendapatkan kebenaran Perdana Menteri untuk meletakkan kain rentang mengumumkan kehadiran Muhyiddin sebagai penceramah jemputan untuk acara sambutan Hari Malaysia di Batu Sumpah, Keningau yang bertemakan “Demi Mempertahankan Hak Kita”?

“Kehadiran Muhyiddin sebagai penceramah jemputan, satu perkara yang jelas menyiratkan yang Perdana Menteri akan mengiktiraf janji-janji Batu Sumpah Keningau ini selepas 57 tahun penubuhan Malaysia.

“Atau, adakah kain rentang ini hanya dinaikkan untuk menarik lebih ramai hadirin ke majlis ini sedangkan Muhyiddin tidak pernah pun bersetuju untuk menghadirinya?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Lim, jika kain rentang ini hanya dinaikkan untuk menarik perhatian orang ramai, maka Jeffrey telah melakukan sesuatu perkara yang amat tidak jujur.

Ini kerana katanya, Timbalan Menteri terbabit mengambil kesempatan ke atas komuniti KDM di Sabah dan menimbulkan tanda tanya mengenai kejujuran, kebolehpercayaan, dan kredibiliti para Menteri dan Timbalan Menteri sedia ada.

Pada masa sama, dalam ucapan Jeffrey di Keningau, beliau berkata akan menghantar memorandum daripada ketua-ketua masyarakat KDM kepada Perdana Menteri untuk memberikan penghormatan dan pengiktirafan kepada Batu Sumpah Keningau dan ketiga-tiga janji untuk menjamin kebebasan beragama, hak berkaitan tanah, dan hal ehwal adat pada Hari Malaysia atau selewat-lewatnya keesokan harinya.

“Sudahkah beliau berbuat demikian, atau ini hanyalah satu lagi penipuan beliau terhadap masyarakat KDM?

“Bolehkah Jeffrey memberikan jaminan, yang Batu Sumpah Keningau ini akan menjadi salah satu isu yang akan dibincangkan dan diputuskan dalam Jawatankuasa Khas MA63 ini?,” soalnya lagi.