Kit Siang pula digantung enam bulan oleh Speaker

Kit Siang pula digantung enam bulan oleh Speaker

Lim Kit Siang (Gelang Patah-DAP) digantung menghadiri sidang Dewan selama enam bulan selepas menimbulkan kekecohan dan mempersoal kuasa Speaker.

Sebelum itu, Speker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menggunakan peraturan mesyuarat 44(2) mengarahkan veteran politik DAP itu keluar kerana terus mempertikai laporan atau syor persempadanan semula.

“Saya mahu tanya mengenai dari mana dan peraturan mana mengenakan embargo pada laporan persempadaan. Itu saja.” ujar Kit Siang yang  enggan keluar dan mempersoal semula kuasa Pandikar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said kemudian membacakan usul menggantung ahli parlimen Gelang Patah itu di bawah peraturan mesyuarat 44 (3).

Usul berkenaan disokong Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Razali Ibrahim dan diputuskan dengan lebih suara yang menyokong.

Bentara mengiring Kit Siang keluar Dewan Rakyat kerana mengganggu persidangan ketika pembentangan Persempadanan Semula Pilihan Raya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak

Isnin lalu Dewan Rakyat menggantung tiga ahli Parlimen DAP selama 10 hari kerana menghina Speaker dan Dewan.

Mereka adalah Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas), Nga Kor Ming (Taiping) dan V.Sivakumar (Batu Gajah).