Malaysia Dateline

Kit Siang seru masyarakat Malaysia bersama-sama perangi wabak Covid-19

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang hari ini mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersatu menentang wabak Covid-19 yang sedang menular ketika ini.

Katanya, semua rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa, agama, politik atau pun status sosio-ekonomi harus berganding bahu menentang sekali gus memenangi ‘perang’ terhadap wabak tersebut.

“Apabila diumumkan semalam bahawa Malaysia mempunyai 130 kes baharu Covid-19, menjadikan keseluruhan kes yang disahkan kepada 1,030.

“Berikutan kenaikan tiga angka selama enam hari berturut-turut, Malaysia kini mempunyai bilangan tertinggi iaitu di tangga keempat jangkitan di Asia selepas China (81,008), Iran (19,644) dan Korea Selatan (8,652) kes.

“Sebenarnya, apa yang menjadi perhatian sekarang ialah, Malaysia merupakan negara kedua di Asia dengan jangkitan Covid-19 harian tertinggi didahului Iran sebanyak 1,237 kes baru semalam.

“Malaysia pula berada di tangga kedua dengan 130 kes, Jepun (60), Indonesia (60), India (52), Thailand (50), Hong Kong (48), China (41), Singapura (40), Pakistan (37), Taiwan (27), Filipina (13), Sri Lanka (13), Vietnam, Brunei (5), Kemboja (4) dan Korea Selatan tiada kes.

“Sehingga semalam, angka kematian global telah mencapai 10,296 atau peningkatan sebanyak 268 kes. Wabak Covid-19 telah sampai di tujuh lagi negara semalam, yang menjejaskan 185 negara dan wilayah serta 77 orang dilaporkan mati. Jumlah keseluruhan yang dijangkiti di seluruh dunia meningkat sebanyak 29,806 menjadikan 274,855 kes,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Susulan penularan wabak Covid-19 ketika ini, Veteran DAP itu menambah, jika ada permintaan oleh kerajaan untuk bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kembali berkhidmat membantu memerangi wabak ini, beliau yakin Majlis Presiden Pakatan Harapan akan memberikan pertimbangan yang positif.

Apa yang penting katanya, adalah memberi tumpuan terhadap penambahan kemudahan perubatan seperti katil yang lebih banyak untuk merawat pesakit dijangkiti selain peralatan dan ubatan yang diperlukan.