Malaysia Dateline

Kit Siang sokong perjanjian CSA, seru pembaharuan Parlimen

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menyokong pemeteraian Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara kerajaan dan pembangkang jika langkah itu mampu mengembalikan kestabilan politik negara.

Veteran DAP itu berkata, sejak 17 Jun lalu lagi, beliau telah mencadangkan supaya moratorium politik dilaksanakan sebagai usaha memastikan kes kematian akibat Covid-19 di negara ini tidak melepasi kadar 5,000 kes.

“Idea moratorium politik yang diajukan saya pada waktu itu mungkin terlalu ke hadapan namun lihatlah kini situasi bertambah buruk dan kita telah merekodkan 1,765,666 kes Covid-19 dan 16,942 orang terkorban.

“Saya juga menyeru pembaharuan Parlimen dan visi baharu berhubung peranan yang boleh dimainkan oleh Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk memenangi perang melawan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berpendapat rakyat tidak mahu melihat krisis Perlembagaan berlaku dalam apa jua bentuk sebaliknya Eksekutif dan badan Perundangan harus tetap fokus dalam mencapai matlamat melawan pandemik.

Kit Siang berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin tentang kewajaran pelaksanaan CSA.

Ahli Parlimen Larut yang juga Menteri Dalam Negeri itu berkata, jika CSA dilaksanakan bermakna parti-parti politik akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu suhu politik negara diredakan.

Untuk rekod, kerajaan mencapai persetujuan bersama barisan pemimpin pembangkang pada 25 Ogos lalu bagi memperkasa fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif.