Malaysia Dateline

Kit Siang terus persoal tindakan PN enggan batalkan Ordinan Darurat

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah jauh tersasar daripada prinsip kerajaan berteraskan rakyat kata Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Beliau tidak memahami mengapa kerajaan enggan membatalkan pelaksanaan ordinan darurat yang mengenakan denda sehingga RM10,000 kepada mereka yang melakukan kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sedangkan katanya, keutamaan kerajaan buat masa ini sepatutnya menggerakkan seluruh negara untuk melawan wabak berkenaan dengan mempercepatkan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Kerajaan langsung tidak peduli mengenai kesusahan yang dihadapi rakyat dengan memaksa mereka ke pejabat kesihatan daerah untuk merayu supaya denda kompaun sebanyak RM10,000 dapat dikurangkan.

“Malah, tidak ada sebarang garis panduan sekalipun untuk proses rayuan ini.

“Adakah seruan saya semalam kepada para menteri supaya ordinan darurat yang tidak masuk akal dan tidak berpatutan ini telah diabaikan?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak akan memansuhkan Ordinan Darurat yang mengenakan denda kompaun sebanyak RM10,000 untuk pelanggaran perintah kawalan pergerakan (PKP).

Namun katanya, denda tersebut akan dikurangkan selepas rayuan dibuat oleh individu yang dikenakan kompaun tersebut.