Malaysia Dateline

Kit Siang tidak bersetuju KDN haramkan komik propaganda

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengakui amat terkejut dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan komik propaganda, “Inisiatif Jalur dan Jalan: Meraih Manfaat Bersama.”

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berpendapat hal tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan Pakatan Harapan, tegasnya, bersifat terbuka.

“Saya tidak bersetuju dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri yang mendakwa buku komik Hew mempromosi dan bersimpati dengan perjuangan komunis.

“Saya menyeru supaya pegawai Kementerian menyemak semula pengharaman ini, selari dengan agenda keterbukaan Pakatan Harapan tanpa meremehkan isu keselamatan dalam negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mengingatkan bahawa Janji ke-27 Buku Harapan secara terang-terangan menyeru pemansuhan undang-undang menindas seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Berkenaan Hew Kuan Yaw, Kit Siang menganggap Kurator Muzium Kebudayaan Komik Asia di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di George Town sebagai seorang yang bersemangat “darah muda” yang berbeza daripada orang lain.

Bagaimanapun, kata Kit Siang, adalah mustahil Hew mahu menjadi seorang komunis ataupun memperjuangkan komunisme.

“Saya telah mengenali Hew Kuan Yaw selama tiga dekad, sejak daripada hari awal perjuangan beliau untuk sebuah Malaysia yang lebih baik dan adil.

“Walaupun beliau merupakan seorang yang bersemangat “darah muda” yang lain daripada yang lain, sehingga kelihatan seperti seorang yang kasar, tidak beradab dan memalukan, saya tidak percaya yang beliau akan sekali-kali memperjuangkan komunisme, apatah lagi menjadi seorang komunis,” ujarnya lagi.

Pada 23 Oktober, KDN mewartakan perintah larangan tiga penerbitan bertajuk ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ serta versi bahasa Inggeris dan Cina melalui Warta Kerajaan P.U. (A)288/2019.

KDN dalam kenyataannya menegaskan, warta perintah larangan itu adalah mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

“Perintah ini menetapkan percetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini dilarang secara mutlak di Malaysia.

“Penerbitan ini dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

“Kandungan penerbitan ini antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan mengenai komunis serta
mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis,” kata kenyataan KDN itu lagi.