Malaysia Dateline

Kit Siang tunggu KJ beritahu perbandingan sebenar harga vaksin

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, akan menunggu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin untuk memberitahu rakyat Malaysia tentang perbezaan harga pembelian vaksin Covid-19 di Belgium.

Beliau berkata demikian sebagai respon kenyataan Khairy yang menjemput Lim untuk hadir ke pejabatnya selepas sidang media berkenaan vaksin Covid-19 esok.

“Saya berterima kasih kepada Khairy Jamaluddin kerana mengundang saya ke sidang media pasca-Kabinetnya esok mengenai harga vaksin Pfizer’s Covid-19.

“Bagaimanapun saya tiada di Kuala Lumpur dan tidak akan berada di Putrajaya untuk sidang akhbarnya. Saya percaya wartawan Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia dan pasti dapat mengendalikan sidang media Khairy.

“Biarkan Khairy memberitahu rakyat Malaysia perbezaan pembelian harga vaksin Covid-19 di Malaysia dengan negara lain seperti Belgium dan Singapura.

“Paling penting, biar Khairy umumkan bahawa vaksin untuk rakyat Malaysia adalah percuma,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Lim mempersoalkan mengapa kerajaan memerlukan RM3 bilion untuk mendapatkan vaksin untuk 6.4 juta rakyat Malaysia.

Beliau membuat perbandingan dengan pendedahan Menteri dari Belgium bahawa harga vaksin tersebut 20 kali ganda lebih murah daripada harga sebenar

Pada masa sama, Lim juga mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru sahaja menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin Covid-19.

Sedangkan katanya, Singapura ketika ini sudah pun memperoleh kumpulan pertama vaksinnya.

Menurutnya, Singapura merupakan negeri Asia pertama yang menerima bekalan vaksin dan akan memulakan program vaksinasi secara meluas pada awal Januari dengan menyasarkan untuk memberi suntikan kepada 5.3 juta penduduknya secepat mungkin.

“Malaysia pula? Perdana Menteri baru saja menandatangani perjanjian untuk mendapatkan tambahan 10 peratus atau 6.4 juta dos vaksin Covid-19 untuk 40 peratus penduduk melalui Covax, Pfizer dan AstraZeneca,” katanya lagi.

Pagi tadi, Muhyiddin memberitahu kerajaan kini memperoleh keseluruhan jaminan bekalan sebanyak 40 peratus, termasuk menerusi dua perjanjian yang dimeterai bersama fasiliti Covax dan Pfizer.

Katanya, melalui kesemua rundingan dan perjanjian yang telah dan akan dimeterai setakat ini, kerajaan akan membelanjakan keseluruhan AS$504.4 juta atau RM2.05 bilion