Malaysia Dateline

‘Kita ada banyak ejen provokatif. Saya tidak mahu menuduh’

“Kita ada banyak ejen provokatif. Saya tidak mahu menuduh, biar polis menjalankan siasatan mereka,”

Demikian jawapan Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail susulan beberapa siri gelombang insiden pergaduhan yang berlaku ketika Kongres Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK), siang tadi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, parti yang ditubuhkannya itu, mungkin pada masa kini mempunyai ramai yang bersifat provokatif.

“Cuma saya rasa kesal benda itu berlaku, disebabkan kita sudah mendapat jawapan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan itu menepati dengan apa yang ROS katakan.

“Kedua-dua mereka (Mizan Adli Mohd Noor dan Mohd Ramly Ahmad) sudah gugur daripada jawatan mereka. Jadi, tak ada apa-apa isu,” katanya dalam sidang media selepas program penutup Kongres Bersama antara Wanita dan AMK, di MITC hari ini.

Kongres AMK 2019 sesi pagi yang berlangsung di MITC kecoh apabila sejumlah perwakilan dan ahli sayap PKR itu tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan kongres.

Difahamkan, perwakilan dan anggota AMK tidak dibenarkan masuk oleh skuad keselamatan parti itu dengan alasan tidak mempunyai pas perwakilan dan tidak memakai baju Melayu.

Kira-kira jam 12.10 tengah hari tadi, gelombang kedua insiden pergaduhan melibatkan perwakilan sayap, ‘pemerhati’ berbaju hitam dan skuad keselamatan terus melanda kongres tahunan pemuda parti itu.

Menerusi pengamatan wartawan, gelombang pertama pergaduhan berakhir kira-kira jam 10.15 pagi, namun sekitar jam 12.10 tengah hari tadi, perwakilan sayap itu datang semula di hadapan dewan kongres.

Suasana kembali tegang apabila pihak perwakilan sekali lagi tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan, iaitu lokasi berlangsungnya kongres.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila seorang ahli yang memakai kemeja rasmi parti cedera di muka ekoran dibaling batu, manakala pemerhati’ berbaju t-shirt hitam berdarah di kepala.