Malaysia Dateline

Kita adalah pembuat dasar, bukan pelacur politik

Ahli Dewan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub hari ini ketika berucap di sidang Dun Johor menegaskan wakil-wakil rakyat adalah pembuat dasar bukan pelacur politik.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Pulai dengan tegas memperingatkan pihak kerajaan agar berhenti menjadikan wakil-wakil rakyat sebagai pelacur yang mampu dijual beli.

Katanya, tindakan menjual beli itu perlu dibanteras dengan mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) anti lompat parti di sidang Dewan Rakyat nanti.

“Antara tawaran kita yang penting yang PH (Pakatan Harapan) akan bawa adalah berkenaan dengan RUU lompat parti dan ini menjunjung titah Tuanku Sultan Johor yang baru-baru ini menyatakan tidak mahu Dun menjadi sangkar beruk.

“Jadi kita tak nak lagi daripada Dewan Parlimen dan Dun ini menjadi sangkar beruk di mana terdapat lagi wakil-wakil rakyat yang menjual mempergadaikan mandat mereka lompat ke sana ke mari.

“Sebenarnya kita ini adalah pembuat dasar. Kita bukan pelacur politik,” katanya ketika dihubungi media

Dalam pada itu beliau turut mencadangkan agar kerajaan memfokuskan kepada permasalahan Covid dengan tambahan peruntukkan kepada mereka yang terjejas.

“Yang keduanya supaya kita dapat memfokus kepada rakyat yang ada pada hari ini masih terbelenggu dengan Covid 19.

“Tadi saya mencadangkan dalam cadangan PH kepada PM (Perdana Menteri) adalah peruntukkan sebanyak RM 45 billion secara tunai untuk kita perangi Covid ini.

“Ia termasuk dengan vaksinasi. Yang kedua adalah RM 10 billion lagi adalah untuk kita bantu golongan yang kehilangan pekerjaan termasuk kumpulan SME dan juga moratorium tiga bulan kepada mereka yang sangat terjejas,” katanya lagi.