Malaysia Dateline

‘Kita akan hadapi saat sukar bersama’

Perubahan landskap politik negara yang menyaksikan berlakunya peralihan kuasa yang dikatakan telah merampas mandat rakyat, AMANAH terus diingatkan agar bersatu hati dalam keadaan susah mahupun senang.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, adalah penting untuk semua bersama dengan kepimpinan bagi menghadapi hari-hari sukar dengan jatuhnya PH setelah 20 bulan memerintah.

Beliau berkata, ketika ini perkara yang perlu dilakukan adalah untuk menenangkan keadaaan dengan tidak menggerakkan tindakan yang boleh mencipta persepsi tidak baik terhadap PH.

“Ini lah yang sering kita ungkapkan, perjuangan ini perlu kita hadapi sama ada ketika waktu senang mahupun susah.

“Kita perlu elakkan dari melakukan keadaan huru-hara terutamanya yang boleh membentuk persepsi PH sebagai kerajaan Cina.

“Kita juga tak mahu dikatakan sebagai gabungan yang menentang Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam taklimat isu semasa bersama AMANAH Wilayah Persekutuan di Dewan Halmim Kampung Batu Muda, semalam.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Pulai itu mengakui, bahawa implikasi kejatuhan PH bukan sahaja terkesan kepada pimpinan yang memegang jawatan dalam kerajaan, bahkan juga melibatkan banyak pihak yang baru mula membina pekerjaan mereka.

“Saya rasa apa yang kita hadapi hari ini, kita akan rasa ini adalah satu kejadian atau peristiwa yang semua akui sangat sedih.

“Ramai yang down, merasakan kejatuhan kerajaan adalah suatu yang tak terduga. Bayangkan kita kerja siang malam habiskan masa dalam kerajaan dan lakukan terbaik.

“Tapi percayalah, kita dah mengisi ruang yang diberikan pada kita dan dapat buktikan bahawa kepimpinan AMANAH ini bila diberikan jawatan, kita mampu lakukan terbaik,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, AMANAH akan terus memfokuskan untuk memberi penerangan di setiap peringkat negeri bagi menjelaskan hal-hal isu semasa termasuk asbab kekalahan kerajaan PH.

Ini kerana katanya, ia amat penting supaya setiap ahli mendapat gambaran yang sebenarnya dengan tidak berpandukan informasi dari pihak ketiga.

“Presiden dan timbalan presiden, memang diminta untuk turun padang ke setiap negeri untuk berjumpa dengan pimpinan negeri dan kawasan supaya tidak berlaku ‘communication breakdown’.

“Jadi majlis ini penting supaya tidak ada ahli yang terkeliru atau mendapat maklumat yang salah. Inilah peranan kenapa kepimpinan AMANAH memutuskan untuk kita turun padang,” jelasnya.