Malaysia Dateline

Kita akan masuk semula PAC jika Pengerusi dari pembangkang, kata Ismail Sabri

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kerajaan sekarang dilihat mahu memonopoli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berikutan ahli parlimennya terdiri daripada kerajaan.

Perkara itu disuarakannya ekoran isu Pengerusi PAC yang sepatutnya dikhaskan kepada wakil rakyat pembangkang.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera, berkata pihaknya tidak akan menyokong tindakan kerajaan sekiranya mereka mahu menguasai PAC sepenuhnya.

“Sebab itu lah Pengerusi, Timbalan Pengerusi daripada wakil kerajaan. Jadi apa maknanya? Kalau itu kehendak mereka, teruskan… kalau kerajaan hari ini di bawah Malaysia Baharu mereka nak menguasai PAC sepenuhnya, tiada makna kita sokong tindakan mereka.

“Kalau Pengerusi PAC daripada pembangkang, kita sokong dan insyaAllah akan masuk semula dalam jawantankuasa tersebut.

“Kita juga mahukan pihak kerajan segera bersetuju melantik Pengerusi PAC daripada kalangan ahli pembangkang seperti yang dijanjikan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya wartawan bagaimana PAC hendak berlaku adil jika tiada wakil pembangkang dalan jawatankuasa tersebut.

Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, tindakan tiga ahli parlimen pembangkang yang tidak hadir ke mesyuarat PAC semalam memberi mesej jelas bahawa mereka telah meletakkan jawatan dalam jawatankuasa tersebut.

“Saya bagaimanapun tidak mengetahui dengan lebih lanjut perkembangan ketiga-tiga mereka, sama ada sudah menghantar surat perletakan jawatan atau belum berbuat demikian.

“Situasi dia macam ini, kalau ada ahli parlimen pembangkang yang pergi ke mesyuarat berkenaan, itu bermakna tiada perletakan jawatan.. tetapi kalau tiada ahli yang pergi, sangat jelaslah tindakan mereka meletakkan jawatan.

“Mengenai surat letak jawatan, serupa macam ini lah.. bila ahli parlimen dah menang pilihan raya, dia dah jadi ahli parlimen, cuma belum angkat sumpah sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ismail menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Tun Mahathir yang berkata ‘nak letak jawatan letaklah, dia punya hal’ sebagai hak PM untuk bersuara.

“PM akan jawab macam itu.. beliau tak akan cakap yang beliau menyokong apa pembangkang buat.. bagi saya jawapan itu bergantung kepada individu itu sendiri,” ujarnya lagi.