‘Kita akan menang kerana kita bersatu’

‘Kita akan menang kerana kita bersatu’

Pakatan Harapan (PH) akan menempa kemenangan dalam pilihan raya umum ke-14 kerana semua parti di dalamnya menunjukkan semangat untuk bersatu, kata Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita akan menang kerana kita bersatu,” katanya ketika merasmikan pelancaran PH negeri Kelantan di Machang semalam.

Kata-kata  ‘bersatu kita teguh bercerai kita roboh’ katanya telah disebut sejak lama oleh rakyat negara ini dan yakin kini sedang diperkukuhkan dalam agenda PH.

“Kita semua berjuang untuk seluruh rakyat dan bukannya melakukan kerja untuk parti masing-masing.

“Memang kita datang dari pelbagai latar belakang, fahaman dan ideologi serta kaedah dan cara kerja tersendiri.

“Tetapi kali ini kita bersama untuk mencapai niat dan sasaran sama untuk menjatuhkan kerajaan (Datuk Seri) Najib dan penyokongnya,” katanya.

Pelancaran PH Kelantan Sambutan hebat dari semua parti Pakatan harapan

Rakyat katanya, kini jelas bahawa individu yang sedang merosakkan negara ini ialah perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Hanya mereka yang disumbat dedak oleh Najib saja yang tidak akan bersama kita menyelamatkan negara,” katanya.

Kaedah pemerintahan Umno dan BN di bawah perdana menteri sekarang menurut beliau adalah melalui cara sogokan.

“Dalam mesyuarat Umno sekarang semua diam dan hanya angguk dan langsung tak ada suara.

“Untuk berkata “ya” pun tak boleh takut terkeluar dedak yang disumbat penuh mulut.” katanya.

Dalam PH beliau tidak mahu tradisi angguk ini menjadi amalan parti-parti yang menganggotainya.

“Kita bebas bersuara dan amalkan demokrasi.

“Percayalah bila kita menang dan menubuhkan kerajaan, rakyat bebas bersuara seperti yang dikehendaki oleh lunas-lunas demokrasi,” katanya.

Menurut Pengerusi Bersatu itu juga, bagi memastikan kemenagan dapat dicapai semua parti hendaklah melupakan sementara kepentingan masing-masing dan memberi tumpuan kepada agenda besar bersama.

Pelancaran PH Kelantan Tun Mahathir Mohamad

“Tugas terpenting semua kita sekarang ialah menjatuhkan parti lawan, Barisan Nasional (BN) dan sekutunya.

“Semua mesti bersama rakyat menjatuhkan kerajaan kleptokrasi yang ada sekarang,” katanya.

Beliau mahu rakyat disedarkan supaya tidak takut untuk menjatuhkan kerajaan melalui kaedah demokrasi.

“Ini negara kita semua dan bukannya negara Najib seorang.

“Kerajaan kleptokrasi memang mahu rakyat dipaksa tunduk tanpa soal kepada pemerintah.

“Kita mahu cara ini dihentikan dan demokrasi yang memberi hak kepada semua rakyat bersuara dikembalikan semula,” katanya.

Beliau tiba di tapak pelancaran PH Kelantan sekitar jam 11 pagi disambut meriah dengan bacaan selawat, laungan takbir dan “hidup Tun”

Turut berucap di majlis itu Penasihat PH Kelantan, Datuk Husam Musa, Ketua Wanita PH Nasional, Zuraida Kamaruddin, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

{loadposition myposition}

CATEGORIES
TAGS