“Kita asyik menuntut suami memuliakan isteri, habis hak dia macam mana pula?”

Oleh WAN SITI AMINAH

Sebagai seorang suami, lelaki sewajarnya dituntut untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebaik mungkin ke atas wanita yang dipilih menjadi isteri dan teman hidup.

Namun tidak dinafikan wujudnya wanita dalam dunia ini yang terlalu menuntut kesempurnaan daripada suami sehingga alpa menunaikan tanggungjawab sebagai isteri.

Berikut adalah perkongsian wanita dikenali sebagai Rose yang pernah alpa dengan kehendak duniawi sehinggalah berubah selepas menunaikan solat di sepertiga malam.

“Aku kenalkan nama sebagai Rose, berusia 35 tahun dan bekerja sendiri. Suami Zam, kini berumur 43 tahun. Aku berkahwin dengan Zam sejak usia 21 tahun. Darah panas lagi waktu itu. Kami dikurniakan tiga cahaya mata, semua sudah besar. Aku perasan sekarang ini, wanita selalu menuntut pelbagai hak untuk suami memuliakan isteri.

“Sehinggakan ada yang lupa, suami juga punya hak perlu dihormati. Aku nak kongsi  cerita di awal perkahwinan aku. Pada tiga tahun pertama menikah, aku dengan Zam kerap bergaduh. Dia tak izinkan aku bekerja sebab tak suka isterinya dipandang oleh lelaki bukan muhrim. Tetapi aku memberontak sebab terbiasa pegang duit sendiri.

“Akhirnya suami meletakkan syarat. Kalau nak kerja boleh sahaja. Asalkan bekerja di dalam rumah. Aku dahulu sama juga seperti orang lain. Meminta nafkah secukupnya. Aku menuntut pelbagai perkara sedangkan ketika itu gaji Zam masih kecil. Aku sering merasakan suami tak menyayangi dan menghargaiku. Namun, segalanya berubah.

“Satu hari, aku solat di sepertiga malam. Meminta kepada Allah berikan aku petunjuk dalam urusan rumah tangga kami. Sebabnya yang memegang hati manusia itu Allah. Sejak itu, aku berubah sikap. Dari seorang orang yang suka menuntut, aku menerima seadanya. Aku juga tak menuntut pemberian nafkah diberi secara tunai setiap bulan.

“Cukuplah dengan suami mencukupi segala keperluan kami, aku terima dengan hati terbuka. Mengejutkan, suami secara tiba-tiba menyerahkan lebihan gajinya kepada aku selepas selesai membayar semua komitmen utama. Suami mahukan aku menguruskan kewangan keluarga. Sebabnya aku selalu ke pasar setiap hari.

“Betul, aku ke pasar setiap hari bagi membeli kelengkapan memasak. Walaupun ada peti sejuk, aku lebih gemar membeli bahan segar setiap hari. Pergi pasar jam 10 pagi, balik pukul 11 tengah hari. Selepas itu terus masak dan hidang di meja. Dari seorang  yang keluar ikut suka kepala, aku juga berubah jadi isteri yang suka meminta izin.

“Aku minta izin walau ke mana sahaja kaki melangkah, hatta nak ambil anak pulang sekolah setiap hari. Aku akan menelefon suami meminta izin keluar dari rumah untuk mengambil anak. Kalau anak nak singgah mana-mana, aku akan telefon dia lagi dan beritahu nak pergi ke sekian-sekian tempat. Termasuklah nak balik ke rumah ibu aku.

“Sebelum pulang ke rumah ibu yang sekangkang kera itu, aku akan minta izin dahulu. Kalau diberi, barulah aku balik. Dari seseorang yang tak memasak atau buat air, aku rutinkan setiap hari memasak untuk keluarga. Setiap kali suami pulang rehat tengah hari atau pulang dari kerja, aku akan berlari ke dapur buatkan air untuk dia.

“Siap untuk menjamu suami di depan pintu masuk semasa dia masuk ke rumah. Lalu dia akan ambil air itu dan minum di sofa. Dahulu aku sememangnya keras kepala dan enggan mengaku salah. Kini setiap kali kami ada perselisihan faham, aku yang mula bersimpuh di kakinya dan mencium tangannya. Meminta maaf atas apa yang terjadi.

“Meskipun tak melakukan kesalahan, aku jugalah yang akan meminta maaf terlebih dahulu. Biasanya kalau suami yang bersalah, dia akan mengusap kepala aku ketika kami bersalaman. Zam akan cakap sebenarnya dia yang bersalah dan minta maaf semula. Aku juga dahulu seseorang yang suka buat hal sendiri sahaja.

“Tetapi sekarang aku ringankan mulut tanya suami tentang pekerjaan dan hari dilalui suami. Jadi dia akan seronoklah bercerita tentang perkara yang dilaluinya sepanjang bekerja pada hari itu. Dari masuk kerja sampai pulang ke rumah. Seronok aku dapat berborak dengan die. Dahulu aku juga tak suka suami pergi memancing

“Kali ini aku sendiri yang akan bangun awal daripada suami jika dia cakap nak keluar memancing. Aku siap sediakan bekal makan dan minumnya. Dia hanya menyiapkan umpan dan keluar sahaja. Sudah tak perlu ke kedai untuk mencari makanan dahulu. Tak kiralah kalau suami pergi sesudah Subuh, aku tetap akan bangun lagi awal.

“Sebelum Subuh lagi aku terpacak masak bekal suami. Aku siap belanjalah dia mesin memancing yang berharga ratusan ringgit sebagai hadiah hari jadi. Biasa apabila dia balik, kami akan duduk di meja bersama untuk minum air teh strawberi kesukaannya. Kami akan berborak tentang ikan yang berjaya ditangkap, cuaca dan banyak lagi.

“Hasil daripada perubahan aku, suami jadi rajin buat kerja rumah. Dahulu semua aku buat seorang diri. Aku sudah tak perlu mencuci atau sidai kain, membuang sampah, mengemop rumah dan mengemas bilik. Semua itu diuruskan oleh Zam. Kami secara tak sengaa berkongsi urusan rumah tangga. Ketika itu barulah aku sedar.

“Rupanya suami hanya mahu dihormati sebagai ketua keluarga. Nak rasa jadi ketua. Kita sebagai isteri kena cuba penuhi hasrat itu. Sejak aku memuliakan suami, setiap tahun dapat hadiah emas tanpa gagal. Kami juga jarang bergaduh, jarang ada salah faham. Kami berdua selalunya saling mengalahkan di dalam segala aspek.

“Kawan aku selalu pesan, dalam perkahwinan kena banyak bersabar. Kita isteri yang paling perlu bersabar. Betul kata dia. Aku cubalah membuka hati supaya dapat reda dengan semuanya. Tak sangka itu jawapan yang Allah berikan kepada aku. Hati aku sudah tak ‘segalau’ dulu. Suami juga berubah menjadi seseorang yang baru padaku.

“Sudah tiada lagi episod marah, bertengkar ataupun menangis dalam rumah tangga kami. Semuanya dapat berlaku di atas kehendak Allah.” Kongsi Rose (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran yang dimuat naik di sebuah forum atas talian dengan tujuan memberikan pengajaran kepada orang ramai.

Baca juga: “Masa dia gaji RM800, akulah yang setia, ubah penampilan dia, sekarang bila gaji RM15k terus cari skandal”