Malaysia Dateline

Kita beli beras, MB Kedah kongsi gambar kahwin, isteri suap pulut kuning

Bersama tagar (tanda pagar) #kitabeliberas, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor hari ini berkongsikan gambar perkahwinannya 22 tahun lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah itu berkata, ketika itu dia ralit melihat tangannya sendiri bukan memandang ke arah kamera seperti diarahkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkenaan juga menuliskan ayat pick-up line atau ungkapan memikat.

“Tak percaya ada ‘orang’ (isteri) tolong pegang tangan nak potong kek. Tak tau bila masa kek tu dipotong.

“Tau-tau tengok kek dah habis. Nak tau dak apa persamaan awak dengan kek? Kek tu kita potong sama-sama, makan sama-sama. Hidup kita ni juga sama.

“Berjuang sama-sama, susah senang sama-sama, masuk syurga juga nanti sama-sama. InsyaAllah,” kata bapa kepada lima anak itu.

Sanusi dan isterinya seorang guru menyambut hari ulang tahun perkahwinan ke-22 hari ini.

Dua jam sebelum itu juga, Sanusi, 47, memuat naik dua gambar yang menunjukkan dia disuap pulut kuning oleh isterinya, Jusmalailani Jusoh sempena ulang tahun perkahwinan mereka hari ini.

Sempat mengingatkan “jangan jeles”, dia berkata, jodohnya dengan Jusmalailani ditentukan Allah untuk mereka melayari ujian kehidupan atas dunia ini.

“Alhamdulillah, sepanjang tempoh itu Allah kurniakan lima cahaya mata, dilimpahi rezeki dan nikmat yang tidak putus-putus, diuji rintangan kecil besar, berat dan ringan sekadar mampu kami hadapi.

“Dipinjamkan kepada kami tubuh badan dan akal yang sihat, dibekalkan dengan kegigihan, kesabahan dan ketabahan. Belayarlah selama 22 tahun yang berlalu itu saling melengkapi dan bantu-membantu,” kata Sanusi lagi.