Kita berhak pergi ke balai, kata Dr Hatta Ramli

Kita berhak pergi ke balai, kata Dr Hatta Ramli

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tersenyum sinis apabila ditanya tindakan berarak ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman diberitahu sebagai melanggar undang-undang, Dr Hatta Ramli menyifatkan semua orang ada hak untuk pergi ke balai polis.

Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional itu berkata, kedaulatan Parlimen mesti dipelihara supaya dapat mengekang tindakan yang bercanggah dengan keadilan.

“Oh, baru saya tahu nak ke balai kena beritahu polis dulu. Padahal tak semestinya seorang, dua orang, ramai-ramai boleh.

“Ini nak pergi balai kena buat notis (ketawa). Bagi saya apapun undang-undang, kita berhak pergi ke balai apa lagi Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ini,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline selepas penyerahan memorandum pagi tadi.

Mengulas penangkapan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi kelmarin, beliau berkata, Pakatan Harapan tidak akan berhenti membongkar penyelewengan pihak berkuasa.

“Itulah risiko yang kita hadapi. Kita kena terus mendedahkan salah guna dan kesalahan pihak berkuasa.

“Kita tidak boleh membenarkan pihak berkuasa mengintimidasi kita sebagai Ahli Parlimen dan rakyat sekalipun mungkin mereka menganggap tindakan menangkap individu itu kononnya dapat menghalang kepincangan mereka didedahkan,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Hatta yakin rakyat semakin matang dan berani dengan hak yang sepatutnya diperjuangkan.

“Saya percaya rakyat kian sedar tentang keadilan yang tidak harus dinafikan termasuk penafian hak ke atas YB Rafizi,” tambahnya lagi.

Pemberita Malaysia Dateline Arif Atan dan Dr Hatta Ramli seusai perarakan ke Bukit Aman

TAGS