Malaysia Dateline

‘Kita berlawan apabila mereka sihat bukan sakit’

Presiden AMANAH Mohamad Sabu mengingatkan orang ramai untuk mendoakan kesihatan mereka yang dijangkiti Covid-19 dan bukannya terus-terusan mengutuk mereka.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, sebagai parti politik yang meletakkan Islam Rahmatan lil Alamin dalam perjuangan, AMANAH hendaklah berhadapan dengan lawan politik yang terbabit isu rasuah, penyelewengan dan ketidak cekapan urus tadbir.

Namun katanya, apabila lawan politik ditimpa penyakit, maka hendaklah mendoakan kesihatan mereka dan bukannya mengutuk mereka yang dalam keuzuran.

“Islam melarang kita mengutuk orang yang ditimpa penyakit termasuklah yang berbeza agama.

“Ambil lah tauladan Solehudin Al Ayubi yang menghantar perawat untuk merawat lawannya dalam perang salib sehingga sembuh.

“Sesiapa sahaja yang ditimpa musibah Covid-19 ini termasuklah Donald Trump hendaklah kita doakan mereka sembuh. Kita berlawan dengan mereka apabila mereka sihat bukannya sakit,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut.