Malaysia Dateline

Kita bukan Tuhan

Penilaian kita kepada manusia hendaknya terbit dari jiwa seorang hamba yang senantiasa mengharapkan kebaikan sesama manusia. Sebagai hamba, kita bertanggungjawab kepada Allah memenuhi hak seorang hamba kepada Penciptanya. Segala hak itu digariskan dengan penuh kejelasan dari Al Quran dan contoh yang diteladani oleh Rasulallah s.a.w.

Kekeliruan dari kenyataan seorang pemimpin besar yang bergelar Duta Khas bertaraf Menteri menuntut kita berpijak atas beberapa premis sebelum membuat rumusan sejauhmana bercelarunya sikap politik beliau dalam mewajarkan tindak-tanduk partinya di waktu mutakhir ini.

Premis persaudaraan keimanan

Semua manusia samada Muslim atau tidak adalah hamba Allah, kita perlu melihat mereka dari kacamata sesama hamba. Sebagai Muslim hubungan sesama Muslim berasaskan kepada panduan adab sesama saudara se Aqidah. Persaudaraan adalah berasaskan kepada Al Ukhuwah Al Imaniah, atau Persaudaraan Berpandukan Hubungan Keimanan, Sesungguhnya Mukmin itu bersaudara. Ini berpandukan kepada keterikatan mereka adalah atas Aqidah yang sama dan ketetapan Syariat yang sama, sudah tentu ada keutamaan dari sudut keimanan dan penghujung kepada kehidupan di akhirat nanti.

Taklif Imani atau tanggungjawab keimanan terikat kepada semua saudara se Aqidah walaupun mereka berbeza pandangan politik masing-masing. Keterikatan aqidah mereka tidak boleh diwajarkan untuk terputus atas alasan kekelompokan atau kepuakan. Sebab itu seorang Muslim dilarang mengkafirkan seseorang muslim lain sewenang-wenangnya kerana keterikatan kukuh keimanan mereka. Tidak ada siapa yang mempertikaikan itu semua malah menjadi tanggungjawab kita memupuk persaudaraan ini walau berbeza pandangan politik.

Premis persaudaraan kemanusiaan

Islam juga melihat dalam kacamata kemanusiaan dalam konteks hubungan di luar keimanan yang diikat dengan persaudaraan sesama insan secara umum.Segala tanggugjawab ini dinamakan sebagai Taklif Insani. Syariat menuntut hubungan sesama insan dipelihara atas perintah Allah supaya memuliakan sesama insan atas seruan kepada Takrim al Insan. Oleh kerana tiada ikatan keimanan, nilai yang mengikat persaudaraan sesama insan ialah nilai sejagat yang dipersetujui seperti menegakkan keadilan, memenuhi hak dan tuntutan serta menghormati kebebasan hak beragama masing-masing. Ini dinamakan sebagai Al Ukhuwah Al Insaniah. Hubungan sesama insan ini tidak berwajarkan garis keimanan dan kekufuran tetapi diwajarkan atas garis nilai-nilai antara kebaikan dan kejahatan yang disepakati umum.

Premis persaudaraan kewarganegaraan

Ada satu lagi persaudaraan yang mengikat hubungan kemanusiaan secara lebih khusus iaitu hubungan kewarganegaraan yang diikat dengan kesetiaan kepada watan dan prinsip perundangan dan kepimpinan negara. Adanya muslim dan non muslim dalam sesebuah negara diikat dengan tanggungjawab kepada negara untuk memastikan kehidupan dalam sesebuah negara menjadi aman dan sejahtera. Sama seperti persaudaran kemanusiaan, hubungan kewarganegaraan adalah menegakkan keadilan, kebebasan dan memenuhi hak sebagaimana termaktub dalam perundangan negara.

Syariat menuntut untuk kita memastikan kemaslahatan hidup berjalan dalam keadaan aman dan harmoni dengan mengikat hubungan atas Al Ukhuwah Fil Muwatonah. Hubungan terbina di atas hak yang termaktub dalam perlembagaan dan hak itu diperbaiki untuk mencapai piawaian kemanusiaan demi menghindari penindasan, kezaliman dan kebencian sesama rakyat. Malaysia punya karakter yang unik dari sudut kepelbagaian yang perlu dipelihara tidak kira sesiapa sahaja yang menjadi pemerintah ataupun pembangkang. Soal syurga atau neraka tidak menjadi ikatan dalam premis ini kerana ia soal hak dalam perundangan dan tanggungjawab membentuk sebuah negara yang aman dan damai berpandukan kepada tuntutan Kebaikan Bersama (Maslahah).

Hubungan dengan bukan Islam

Memahami bentuk premis persaudaraan dan hubungan yang dituntut dalam syariat kita, hubungan dengan bukan Islam amat jelas dalam Islam dari segi kesatuan menegakkan keadilan dan menentang kefasadan seperti rasuah dan salahguna kuasa kerana ia termasuk dalam kategori tuntutan persaudaraan kemanusiaan dan persaudaraan kewarganegaraan. Bekerjasama di atas nilai-nilai tersebut atas hubungan persaudaraan kemanusiaan dan watan tidak membezakan seorang muslim atau non muslim asalkan kemaslahatan mensejahterakan rakyat dapat dicapai seperti digariskan oleh disiplin Maqasid Syariah.

Dalam bab seorang bukan Islam yang mahukan nilai-nilai ini tertegak selagi dalam persaudaraan kemanusiaan dan watan, kita harus mencari peluang bekerjasama dan berganding bahu atas nama memelihara kemaslahatan negara dan rakyat. Soal masuk neraka atau tidak bukan alasan untuk tidak berganding bahu dengan bukan Islam selagi premis dan disiplin hubungan taklif insani dipelihara. Soal penghujung seseorang itu berakhir di mana adalah kerja Tuhan bukan kerja manusia! Ini adalah ABC ilmu ketauhidan.

Menentang rasuah menyatukan kita

Pemimpin-pemimpin yang rasuah, zalim dan khianat samada muslim atau tidak mesti dicegah dengan menyekat perbuatan mereka seperti digariskan oleh Syariat kita, bukan dengan menyokong mereka! Di sini tidak ada bezanya muslim yang rasuah lebih baik dari non-muslim yang tidak rasuah atas alasan muslim rasuah diterima taubatnya manakala non-muslim baik atau tidak, tetap akan masuk neraka! Kecelaruan pemikiran ini berpunca dari gagal memahami premis hubungan yang telah ditetapkan oleh syariat ataupun sekadar mencari dalil untuk mewajarkan tindakan kelompoknya, wallahu a’alam.

Tidak bersama dengan kelompok muslim dari sudut politik bukan bermakna memutuskan persaudaraan keimanan atau bersama dengan non muslim dalam politik bukan pula bermakna kita anti-muslim atau anti Islam! Selagi syariat membenarkan nilai-nilai yang harus diperjuangkan bersama atas premis yang jelas, selagi itu kita harus mencari peluang mensejahterakan negara. Rujukan kesatuan yang menyatukan kita dalam sesebuah negara ialah mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara serta perpaduan rakyatnya.

Kita bukan Tuhan

Hikmah persaudaraan kemanusiaan ditegakkan adalah untuk membuka ruang untuk Islam diterangkumkan dalam perjuangan menegakkan nilai-nilai yang memberikan kebaikan bersama sesama manusia. Islam punya misi yang jelas dalam menjaga nyawa manusia, kehormatan manusia dan harta manusia malah hak untuk beragama. Bagaimana semua kebaikan ini hendak disampaikan jika syurga dan neraka menjadi neraca hubungan sesama manusia? Inilah perjuangan Maqasid Syariah yang inklusif sifatnya.

Kita bukan tuhan untuk menentukan syurga dan neraka dalam membina hubungan sesama manusia, kita adalah hamba Tuhan yang pasrah kepada keputusanNya yang Maha Adil dan Maha Bijaksana.

“Barangsiapa yang taat kepada Rasulallah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah dan sesiapa yang berpaling ingkar (tidak beriman), maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan)” (An Nisaa : 80)

 

Penulis adalah Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap Naib Presiden Parti AMANAH Negara