Malaysia Dateline

‘Kita cermin tarik semua orang kepada AMANAH’

Penasihat Umum AMANAH, Datuk Seri Ustaz Haji Ahmad Awang dalam ucapan penggulungan sempena Konvensyen Nasional 2019 AMANAH lalu menyentuh tentang pentingnya setiap ahli AMANAH menterjemahkan nilai Rahmatan Lil Alamin bermula daripada diri sendiri.

Usaha tersebut penting bukan sahaja bagi menarik minat lebih ramai masyarakat Islam untuk menyertai AMANAH bahkan meraih sokongan daripada bukan Muslim yang menduduki komposisi kira-kira 40 peratus daripada penduduk di negara ini.

Peneraju pimpinan Persatuan Ulama Malaysia selama kira-kira 17 tahun itu juga berharap lebih banyak usaha dilakukan daripada menteri hingga ahli di peringkat kawasan untuk menonjolkan AMANAH relevan dengan hasrat dan suara rakyat.

Berikut adalah transkrip penuh ucapan Ustaz Haji Ahmad Awang yang turut memuji pemilihan pimpinan yang disifatkannya sebagai beramanah serta pencapaian kerajaan negeri Melaka yang dipimpin Ketua Menterinya, Adly Zahari:

“Saya tertarik apa yang saya perhatikan dari perasmian sehingga saat ini (penggulungan) ialah pemilihan pengundian secara e-undi yang canggih. 27 calon daripada 89 calon dipilih menduduki jawatankuasa.

Seperti dilihat daripada keputusan, Presiden jatuh kepada nombor tujuh, Timbalan Presiden di tangga keempat manakala yang tertinggi sekali adalah Menteri Wilayah.

Jadi, mungkin sesetengah orang fikir, sepatutnya Khalid jadi Presiden tetapi kita melihat dan telah diketahui umum, sebulat suara tiada calon lain, mereka memilih juga Mohamad Sabu.

Sekurang-kurangnya, semalam sahabat-sahabat beritahu melalui WhatsApp dari jauh, mereka kata, ini rupa-rupanya pemilihan parti AMANAH yang sangat menunjukkan bahawa mereka memang beramanah dengan tanggungjawab mereka.

Menyaksikan pemilihan peringkat kawasan, kita lihat kelmarin dan saya menyuarakan dalam mesyuarat pimpinan kalau penyakit cai itu berjangkit.

Rupa-rupanya, itu hanya sebagian ujian untuk menyaksikan akhirnya seperti disebut Ketua Pemuda yang baharu tadi (Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim) semangat ukhuwah persaudaraan itu yang kita hayati sesuai dengan Rahmatan Lil Alamin.

Ayat 90 dari surah Al-Nahl, yang dibacakan qari semalam itulah yang kita hari ini usaha kerana AMANAH menjadi komponen dalam kerajaan melaksanakan sebagai yang diperintahkan:

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”

Inilah perjuangan kita yang sebenarnya. Hari ini mereka yang terlibat dalam jawatan kerajaan sebagai menteri dan timbalan menteri, walaupun dua hari (konvensyen) dari permulaan pelbagai kritikan serangan pun ada.

Tetapi hari ini, mereka dapat menerangkan dengan penuh rasional, menggambarkan walaupun ada perwakilan merasakan dirinya pembangkang dan saya lihat kadang-kadang yang di atas ini pun ada macam pembangkang tetapi Inshaa Allah akan berlaku perubahan.

Sebab itu saya tertarik dengan perwakilan Melaka, Jamzuri Ardani. Melaka adalah negeri yang terpuji dalam Pakatan Harapan dipimpin oleh Ketua Menterinya. Ini (pujian) bukan daripada saya, tetapi daripada ramai rakan.

Yang di sebelah sana pun (pembangkang) mengakuinya walaupun baru-baru ini dikatakan diuji juga dari pintu belakang tetapi Alhamdulillah berkat solat hajat dan munajat walaupun tidak diberitahu sebagai sebuah parti yang mahukan rahmat Allah, kita sentiasa memohon kepada Allah.

Dr Mujahid yang memulakan ucapan dengan surah al-Imran ayat 159 yang saya juga dulu selalu mengulangnya, bermaksud, “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.”

Hal ini perlu dihayati oleh semua pihak termasuk perwakilan yang barangkali sesetengahnya belum sampai ke tahap berkenaan.

Saya juga tertarik apabila Jamzuri memetik ungkapan seorang pemikir Bruce Tuckman bahawa kita ini sudah masuk ke tahap keempat kalau mengikut model forming, storming, norming dan performing.

Tapi prestasi kita masih di peringkat awal. Jadi, prestasi ini yang dikatakan Timbalan Presiden kita melihat sudah setahun setengah, menteri-menteri kita pun sudah perform.

Dalam masa sama, kita berharap mereka di peringkat kawasan juga perlu perform untuk menarik lebih ramai orang menyokong dan mempercayai AMANAH ini sebagai sebuah parti politik yang memang istimewa.

Istimewa kerana 11 orang ahli parlimen, tiga senator tetapi yang jadi menteri dan timbalan menteri semuanya 10 orang.

Jadi, ini menunjukkan di bawah sana kita juga mesti menterjemahkan nilai Rahmatan Lil Alamin sebab ada juga perwakilan membangkitkan nun ruang pemerhati ‘putih’ daripada awal sampai akhir kerana tiada warna, tiada orang duduk di sana.

Di sana pun barangkali kosong juga. (Ruang pemerhati ada di kanan dan kiri dewan) Ertinya pemerhati tidak ramai datang. Mungkin mereka tidak tertarik untuk memerhati konvensyen ini kerana prestasinya mungkin belum cukup kuat di peringkat bawah.”

Inklusif

Saya percaya mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan ini benar-benar menghayati Surah al-Imran, ayat ke-27 ini:

“Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya”.

Kita semua juga perlu menghayatinya kerana bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik kuasa dan hinakan siapa yang ingin dihinakan.

Saya juga melihat mungkin kebetulan tetapi janganlah ada semangat kedaerahan, cauvinisme, perkauman.

Kita di sini sebagai sebuah parti yang inklusif. Kita ada rakan-rakan dari kaum India dan Tionghoa yang bukan Muslim. Mereka sama kedudukan (dengan Muslim) sebagai ahli. Ini merupakan keistimewaan kita di AMANAH.

Kerana di sebelah sana dulu (Pas), saya ingat pernah mencadangkan kepada warganegara yang bukan Islam diterima sebagai ahli parti maka mendapat tentangan yang keras.

Namun kemudian dengan jasa dan usaha Dr Mujahid, lahirlah Dewan Himpunan Penyokong tetapi tidaklah menjadi ahli secara biasa.

Tapi kita daripada awal. Jadi kita perlu sama-sama mengukuhkannya bagi membolehkan rakan-rakan bukan Muslim kita menarik lebih ramai kawan-kawan mereka ke dalam parti ini.

Tapi mesti bermula daripada kita sendiri kerana kita adalah cermin untuk membolehkan mereka tertarik kepada parti AMANAH.

Mungkin kita tidak ambil perhatian kerana kita lebih tumpu kepada negara kerana kita baru menjadi kerajaan. Dalam Pidato Presiden, kita tidak menyentuh langsung hal kedudukan orang Islam yang tertindas di Palestin, Kashmir dan Myanmar.

Namun parti kita memang terlibat juga melalui NGO. Presiden sendiri tahun lepas merasmikan satu persidangan antarabangsa mengenai Palestin.

Elok juga kita bersama mendukung perkara ini apalagi Perdana Menteri dalam PBB baru-baru ini boleh dikatakan orang yang paling lantang membela perjuangan mereka yang tertindas khasnya seperti di Kashmir.

Kita difahamkan akan berlangsung satu sidang kemuncak atau persidangan yang Malaysia akan menjadi tuan rumah bersama dihadiri presiden Turki, Pakistan, Qatar dan Iran untuk mengisytiharkan satu penubuhan media suara umat Islam.

Saya percaya parti AMANAH juga tidak ketinggalan untuk bersama kerana kita berada dalam kerajaan hari ini. Semoga akan panjang usia perjuangan kita.”