Tular video satu konsert yang berlangsung di Alor Setar, Kedah memperlihatkan anak muda menjerit-jerit dan melompat tanpa ada batasan antara lelaki dan perempuan.
Pada tahun 2022 kerajaan negeri Kedah telah membuat ketetapan bahawa semua konsert secara terbuka tidak akan dibenarkan di negeri jelapang padi itu.
Konsert Choii Underground Music Tour Kedah 2.0 itu bagaimanapun dikatakan tidak mendapat permit atau kelulusan untuk penganjuran tersebut.
Pengasas kepada satu jenama pakaian menerusi akaun TikTok farisazrii memohon maaf kerana mengadakan konsert tanpa kebenaran lapor Kosmo! Online.
“Hari ini saya buat satu kesilapan dan saya mohon maaf kepada Kerajaan Negeri Kedah yang benarkan kita jalankan program di sini tetapi kita melanggar apa yang tidak sepatutnya kita buat di bumi Kedah,” katanya.
Malah penganjur tersebut mengakui kealpaan tentang malam Nisfu Syaaban namun menyatakan sudah membuat selawat beramai-ramai hampir sejam sebebum konsert bermula.
“Saya betul-betul minta maaf kerana saya terlepas pandang malam kejadian malam Nisfu Syaaban.
“Walaupun kita dah buat selawat, ada yang cakap kita buat tiga minit sahaja tetapi kita buat hampir sejam juga, baru jalankan konsert. Kita percaya kalau kita tak buat selawat orang ‘tembak’, kalau kita buat selawat pun orang akan ‘tembak’.
“Sebab orang tidak boleh terima kita buat konsert di sini. Jadi, saya nak jelaskan bahawa apa yang saya buat di sini tidak terlibat dengan mana-mana badan kerajaan. Itu saya akui memang kesalahan datang daripada kami, saya minta maaf kepada Kerajaan Negeri Kedah,” ujarnya.
Konsert dibuat pada malam Jumaat bukan malam Nisfu Syaaban
Untuk tidak mengeruhkan keadaan, dia juga menjelaskan konsert tersebut berlangsung pada malam Jumaat dan bukan pada malam Nisfu Syaaban.
“Mengenai isu yang terkinja-kinja dan melompat itu pun saya minta maaf sebab saya bawa hip hop ke bumi Kedah, itu pun kesalahan saya tetapi yang hip hop dan budak-budak muda terlompat-lompat itu pada hari Jumaat, bukan Sabtu.
“Namun, kita tengok video melompat yang viral itu dikatakan pada malam Nisfu Syaaban, itu tidak sama sekali kerana yang lompat itu pada hari Jumaat,” jelasnya.
Baca juga: Patutlah umur dekat 100 tahun pun sihat lagi, ini amalan rahsia Tun Dr Mahathir