Malaysia Dateline

Kita diberi kerusi kategori F, kata Anwar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, partinya hanya diberikan kerusi sukar menang dan tidak diingini oleh pihak lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, PKR diberi kerusi kategori F.

“Kerusi yang lebih berdaya saing sedang dituntut oleh semua parti ini.

“Tetapi kerusi yang mereka tidak bertapak, tiada harapan untuk parti-parti ini (mereka katakan) ‘Ok PKR lebih baik bertanding (di sana) jika tidak anda akan membenarkan GPS menang tanpa bertanding’ dan kami terbeban dengan ini.

“Rakyat menganggap PKR tamak. (Tetapi) kita merebut kerusi yang kita boleh menang, (kerusi) kategori A, tetapi kita diberi kerusi kategori F,” katanya kepada pemberita di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.

Sebanyak 47 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak diperuntukkan kepada PKR semasa rundingan dengan DAP awal tahun ini.

Bagaimanapun, PKR dikatakan menuntut lebih banyak kerusi untuk bertanding.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 6 Disember manakala hari mengundi pada 18 Disember, dengan tempoh berkempen selama 12 hari.