Malaysia Dateline

Kita dilanda ‘tragedi Oktober’! 432 kes positif Covid-19 hari ini

Negara ibarat dilanda ‘tragedi Oktober’ pabila kes jangkitan baharu Covid-19 terus mengganas dengan rekod sebanyak 432 kes hari ini sekali gus angka tertinggi sejak pandemik itu melanda Malaysia.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak berbahaya itu sebanyak 12,813 kes dengan kebolehjangkitan meningkat kepada 2,336 kes.

Perkara itu diumumkan Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebentar tadi.

Hisham berkata, daripada kes baharu dilaporkan itu, 429 kes adalah kes tempatan dan tiga lagi adalah kes import membabitkan dua warganegara dan seorang bukan warganegara.

Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 137 kes.