‘Kita dinilai atas keputusan yang dibuat’ kata bekas Gabenor BNM

‘Kita dinilai atas keputusan yang dibuat’ kata bekas Gabenor BNM

Kerajaan telah menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) berkuat kuasa hari ini, mengesahkan khabar angin yang tersebar dalam media sosial sejak semalam.

Bagaimanapun, pengganti beliau masih belum dinamakan dengan bekas Timbalan Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus telah disebut-sebut sebagai calon pilihan untuk menerajui bank pusat itu.

Dalam jawapannya kepada pertanyaan Bernama menerusi aplikasi Whatsap, Muhammad berkata semasa beliau mengambil alih jawatan itu pada Mei 2016, beliau berikrar untuk melaksanakan tanggungjawab pejabat Gabenor dengan profesionalisme, maruah dan integriti yang tinggi.

Bagaimanapun, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, terdapat persoalan serius yang dibangkitkan sama ada beliau telah gagal dalam mencapai standard ini dan merisikokan keyakinan orang awam terhadap bank itu.

“Sebagai bank pusat, kami hanya efektif dengan kepercayaan dan keyakinan yang diletakkan oleh rakyat Malaysia dan para pemimpin terhadap kami.

“Saya bersedia melepaskan jawatan sekiranya saya tidak lagi mendapat kepercayaan dan sokongan daripada orang ramai. Saya tidak dapat meneruskannya lagi sekiranya ia menjejaskan imej dan reputasi bank.

“Kita dinilai atas keputusan yang kita buat, misalnya seperti pembelian Lot 41 baru-baru ini, yang dibeli pada harga RM850 sekaki persegi yang mana telah menarik perhatian umum,” katanya seperti dipetik Bernama.

Muhammad berkata persepsi umum adalah pembelian tanah itu dibuat bertujuan untuk bersekongkol dalam penyelewengan dana awam berkaitan rasuah dan skandal yang menyelubungi 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Ini tidak benar sama sekali. Bank Negara Malaysia tidak akan terlibat dalam aktiviti sedemikian yang akan mengkhianati kepercayaan orang ramai terhadap kami. Kami menolak sebarang bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” tegasnya.

Walaupun ramai yang mungkin meraguinya, beliau berkata BNM tidak mengetahuinya dan tidak mempunyai sebarang kawalan ke atas hasil daripada pembelian tanah itu yang akan digunakan untuk menyelesaikan obligasi hutang 1MDB.

Beliau berkata adalah tidak munasabah bank pusat itu dikaitkan dengan entiti kontroversi tersebut yang terlibat dengan tuduhan penipuan dan salah urus.

“Bukan amalan kami untuk berbuat demikian. Kami turut mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka sebelum ini.

“Skandal 1MDB memberi kesan buruk kepada negara dan sebagai rakyat Malaysia, saya merasa amat marah.

“Ia merupakan perkara yang menjadi tumpuan umum dan saya faham mana-mana pertubuhan yang terlibat dengan skandal, secara tidak disengajakan atau sebaliknya, akan menimbulkan kemarahan orang ramai,” katanya.

Muhammad berkata keutamaan beliau kini adalah memacu bank pusat itu hadapan dan terus menumpukan kepada melaksanakan mandatnya untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia.

Merujuk kepada pembelian Lot 41, beliau berkata, ia bukan kali pertama BNM melakukan transaksi seperti itu.

Beliau menegaskan bahawa Bank Pusat sejak berpuluh tahun lalu telah membeli beberapa keping tanah di seluruh negara untuk membolehkannya melaksana mandatnya.

Malah ibu pejabat sekarang, dibina atas tiga pengambilalihan tanah yang berasingan yang dibuat pada tahun 1950-an dan 1980-an.

Contoh lain ialah tanah Bukit Perdana, yang dibeli pada 2013 dengan harga RM1,235 sekaki persegi berdasarkan penilai profesional bebas, di mana pembinaan Sekolah Perniagaan Asia dan Pusat Latihan Industri Kewangan sedang dijalankan.

Muhammad berkata, Bank Pusat sentiasa mahu mewujudkan sinergi yang lebih besar antara institusi gabungannya dan memastikan pembangunan tenaga kerja untuk sektor kewangan.

“Dengan objektif ini, kami telah menunjukkan minat kami seawal September 2016. Kami memulakan pembelian tanah setahun kemudian apabila kami tahu bahawa terdapat minat oleh kerajaan pada masa itu untuk menjual tanah ini.

“Kami percaya bahawa ia adalah satu peluang yang baik untuk memperoleh aset secara munasabah yang akan menjadi teras bagi meneruskan pertumbuhan jangka panjang kami,” katanya, sambil menambah visi untuk Hub Pendidikan Kewangan adalah ia akan mempunyai antara lain, universiti kewangan Islam global, pusat akademi dan penyelidikan Shariah, perpustakaan perkhidmatan kewangan, makmal inovasi, pusat operasi keselamatan siber dan pusat kawalan keselamatan bersepadu.

“Kami telah memastikan segala-galanya dilakukan dengan cara yang betul, dengan tadbir urus dan akauntabiliti yang baik, termasuk pematuhan terhadap semua undang-undang yang berkaitan.

“Di peringkat dalaman, kami membincangkan perkara ini melalui beberapa mesyuarat lembaga pengarah. Malah kami mencadangkan kepada kerajaan supaya jualan itu adalah terbaik dilakukan melalui tender awam yang mana kami amat bersedia untuk menyertainya secara kompetitif dengan pihak lain yang berminat.

“Kami juga memilih menerbitkan siaran akhbar pada Januari 2018 untuk memberitahu orang ramai berkenaan pembelian itu sebagai usaha terhadap ketelusan,” katanya.

Melalui pengalaman yang baru saja dialami berhubung Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kerugian tukaran mata wang asing tiga puluh tahun lalu, BNM berhati-hati dalam memastikan segala-galanya mengikut peraturan, katanya.

“Kami sedar bahawa kami perlu melepasi ujian pemerhatian oleh orang ramai dalam segala perkara yang kami lakukan bagi mengekalkan reputasi kami dan keyakinan umum,” jelasnya.

Muhammad berkata,selama lebih 34 tahun, beliau sentiasa berusaha untuk berkhidmat, melakukan yang terbaik demi kepentingan negara, nilai-nilainya dan rakyat.

“Pejabat gabenor adalah satu tanggungjawab berat dengan kapasiti besar bagi kebaikan selain ia juga satu keistimewaan, kerana ia membabitkan bekerja dengan kemungkinan tenaga kerja yang terbaik yang ada di Malaysia,” katanya.

Bagi Muhammad, Malaysia berada di peringkat kritikal dalam sejarahnya.

“Adalah penting untuk kita bersatu sebagai sebuah institusi dalam menuju kejayaan

“Rakyat Malaysia mengharapkan sepenuh-penuhnya dedikasi dan iltizam kami.

“Institusi ini lebih besar daripada mana-mana individu dan saya sesungguhnya percaya hari-hari terbaik kita berada di hadapan. Marilah kita mengambil keberanian, pengajaran dan kekuatan daripada perkara ini,” tambahnya.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS