“Kita gantung dia bukan buang dia sebagai ahli,” kata Setiausaha Agung Umno

“Kita gantung dia bukan buang dia sebagai ahli,” kata Setiausaha Agung Umno

Keputusan sebulat suara Majlis Tertinggi (MT) Umno menggantung Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden Umno adalah mengikut prosedur yang ditetapkan.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata usul untuk menggantung Muhyiddin itu dikemukakan secara konsensus dan dibincangkan lebih dua jam oleh anggota MT dengan keputusan yang dibuat mengikut perlembagaan Umno.

“Apa yang tak ikut SOP (Prosuder Operasi Standard)? Kita dah beritahu dia (Muhyiddin), janganlah buat apa-apa perkara seperti yang dia telah buat macam berceramah di Kelab Sultan Sulaiman dan di tempat-tempat lain..

“Apa SOP yang dia nak…saya tak faham? Perlu ingat, kita gantung dia, bukan buang dia sebagai ahli (Umno). Kita gantung jawatan dia kerana jawatan dia ini sepatutnya membantu presiden…,” jelas beliau di sini, hari ini.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa MT Umno melanggar prosedur tata tertib parti berhubung penggantungan jawatannya itu.

Ditanya sama ada tindakan itu sepatutnya dibuat oleh Lembaga Disiplin Umno, Tengku Adnan berkata beliau yakin lembaga itu juga akan mengambil tindakan sama.

“Saya berkeyakinan bahawa Lembaga Disiplin boleh mengambil tindakan untuk pecat dia, itu terpulang kepada Lembaga Disiplin. Kita pun dah hantar laporan ke Lembaga Disiplin,” katanya.

Semalam, MT Umno sebulat suara membuat keputusan menggantung jawatan Muhyiddin berkuat kuasa serta merta sehingga pemilihan MT akan datang.

Tugas-tugas timbalan presiden akan dijalankan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu, Tengku Adnan merasmikan Karnival Makanan Warisan 1Malaysia sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2016 di Taman Tasik Titiwangsa di sini.

Karnival itu, yang menempatkan lebih 100 gerai jualan makanan tradisi dan 20 buah trak makanan, berlangsung bermula semalam hingga esok.

TAGS