‘Kita hanya reti berpolitik dan berpolitik saja?’

‘Kita hanya reti berpolitik dan berpolitik saja?’

Masuk 2019, entah apa yang menanti di hadapan. Tahun 2018 sudah dilalui dengan penuh kepayahan. Kita diuji kiri dan kanan. Kita diuji pelbagai bentuk dugaan. Kita hampir-hampir tidak jadi makin kuat, hanya makin lelah.

Itu harga perubahan. Kita sedang mencabar bukan orang lain tapi diri kita untuk jadi lebih baik, lebih besar.

Kita perlu korbankan keselesaan, kita perlu korbankan kelemahan yang kita enak dampingi selama ini.

Seperti orang yang mahu pulih daripada patah kaki, mahu berjalan semula. Lama bertongkat, saat pertama kali dilepaskan pasti sukar dan sakit, namun itulah yang perlu dibuat atau selamanya tempang.

Melahirkan semula sebuah negara yang pernah sakit teruk bukannya mudah. Ubatnya mahal, merawatnya makan masa. Namun sayang, dengan kesedaran betapa payahnya semua ini pun, masih ada yang mengambil kesempatan.

Masih ingin keselesaan dan kelemahan lalu yang merosakkan kita.

Kemudian pula ada lagi yang masih enak berpolitik. Bercakaran tidak henti. Tidakkah kita sedar, ini bukan lagi masanya untuk semata-mata berpolitik?

Jika mahu berpolitik sekalipun, nah, tunggulah empat lima tahun lagi, saat pilihan raya dipanggil semula. Atau memang, itu sahaja yang kita tahu? Berpolitik?

Iyalah. Mungkin juga itu sahaja yang kita tahu. Kita hanya reti berpolitik dan berpolitik sahaja. Berpuluh tahun bergelumang politik semata politik – bila sampai saat buat kerja lain selain politik, jadi menteri misalnya, jadi tak reti.

Langsung kita pun bertanya balik – apa tujuannya ditonjolkan diri selama ini – merayu meminta orang memilih kita, tapi tak reti apa?

Baru-baru ini Menteri Belia kita dalam perhimpunan agung partinya menyeru agar ditinggalkan budaya lama meminta projek dan habuan, apa lagi secara terbuka.

Seruan yang tersangatlah asas ini pun ada juga yang menyanggah. Mujur juga yang menyanggah itu orang tua daripada buku lama.

Tapi siapa tahu – mungkin yang muda-muda ini pun sama juga tapi tidaklah terang-terangan.

Tak cukup setahun lagi pun, kita sudah dengar patah demi patah orang menghamun kerajaan yang diwakili kita ini.

Tak perlu kita khuatir dengan mereka yang sering jawab bila dihamun – ertinya mereka ambil pusing cakap-cakap orang di keliling.

Khuatirlah dengan mereka yang sedikit pun tak hairan hatta ke atas seruan yang paling rasional.

Kasihanilah negara ini. Kasihanilah orang di dalamnya. Kita yang mencorakkan mana perginya arah kita, bukan orang lain.

Kita janjikan bukan hanya kerajaan yang lebih baik, tapi juga negara yang lebih baik. Tapi kalau pemimpinnnya pun tidak lebih baik, apa lagi yang ada untuk kita?

Biar kita buka tahun baharu ini dengan azam menjadi lebih baik dari semalam.

Meninggalkan buruk dan busuk yang lalu, meninggalkan kelemahan dan keselasaan.

Tidak keterlaluan kita mengajak orang, rakyat dan selainnya untuk ikut bersusah, tapi bukan untuk kita pula berselesa.