Malaysia Dateline

“Kita jemput semua presiden parti, bukan Mahathir seorang”

AMANAH menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan parti itu kini mengagungkan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas kehadiran bekas perdana menteri itu di Istana semalam.

AJK AMANAH Khalid Samad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tamat Darurat berkata, pihaknya telah menjemput kesemua presiden parti pembangkang untuk sama-sama menghadap Yang Dipertuan Agong (YDPA) bagi menyerahkan memorandum menamatkan darurat.

Katanya, oleh kerana mungkin presiden partiĀ  yang lain sudah mempunyai program yang telah diatur lebih awal menyebabkan mereka tidak dapat bersama-sama.

“Kita jemput semua presiden parti pembangkang untuk bersama-sama kita semalam, mungkin mereka ada program yang lain maka bukan semua yang dapat hadir,” kata beliau dalam tembual bersama Jom Channel petang tadi.

Katanya, bagaimanapun parti telah menghantar wakil mereka di pintu masuk Istana di mana 10 orang ahli setiap parti yang hadir.

“Bukan itu sahaja, kita juga mendapat liputan yang cukup luar biasa dengan kehadiran media bukan sahaja media tempatan bahkan media antarabangsa,”kata beliau.

Ketidakhadiran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khalid berkata Anwar mempunyai komited yang tinggi dalam usaha menamatkan darurat ini.

Semalam, Anwar tidak dapat bersama menghadap YDPA kerana telah dijadualkan untuk bersama rakyatnya di Port Dickson.

Beliau turun padang menyantuni pelbagai lapisan masyarakat dengan menghadiri lima program semalam.

Khalid bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyerahkan surat menghadap YDPA kepada Setiausaha Sulit Kanan Agong, Kolonel Nazim Mohd Alim.

Ia merupakan surat kedua yang dihantar jawatankuasa itu kepada Yang Dipertuan Agong bagi memohon perkenan Baginda untuk menerima petisyen rayuan menamatkan darurat.