Malaysia Dateline

Kita kena cari orang yang belum terlibat dengan ‘cash is king’ – Tun M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang ramai perlu diberitahu untuk tidak menerima duit dari mana-mana ahli politik dan mengundi parti itu kerana duit.

Menurutnya, banyak parti-parti politik yang lebih mengutamakan duit mereka dapat dengan sesuatu kedudukan atau jawatan yang diperolehinya.

Kerana itu katanya, perjuangan ahli-ahli politik sekarang seperti sudah tidak lagi berkhidmat untuk rakyat, tetapi untuk mereka sendiri.

“Tujuan utama kita ialah membersihkan politik di Malaysia. (dari rasuah). Najib sudah rosakkan mentaliti Malaysia. Dia kata ‘cash is king’. Bagi duit, aku boleh menang.

“Kita nak tolak itu dan kena cari orang yang belum terlibat dengan ‘cash is king’,” katanya dalam satu diskusi Memulihkan Negara menerusi Agenda Awani, malam tadi.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, walaupun sepatutnya beliau kini sudah mengundurkan diri dari politik, bagaimanapun ia tidak berlaku kerana perkembangan semasa terutama berkaitan rasuah yang semakin teruk dalam negara.

Menurutnya, negara memerlukan badan politik yang bebas rasuah, namun dibelakangnya memerlukan sokongan kuat dari rakyat Malaysia yang mahukan negara bersih.

“Kita perlu ada satu badan politik yang menolak rasuah. Tapi mereka sahaja menolak, tak akan menang. Mereka perlu dibantu rakyat.

“Sebab itu kita nak bagitahu rakyat kalau betul-betul tak suka rasuah, jangan terima duit dan undi kerana duit. Sebaliknya undi orang yang bersih dari rasuah,” ulasnya lagi.