Malaysia Dateline

‘Kita kena reformasikan Jabatan Peguam Negara’

Ketua Biro Undang-Undang Pakatan Harapan, Gobind Singh Deo berkata, Pakatan Harapan perlu untuk mereformasikan Jabatan Peguam Negara untuk meneliti semula skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Sudah banyak tahun kita tanya tentang 1MDB tetapi masih tiada jawapan.

“Kita perlu adakan reformasi institusi dengan cara menang di peringkat Persekutuan.

“Kita kena reformasikan Jabatan Peguam Negara. Kita kena kaji semula kes yang sebelum ini dikatakan tiada kes,” ujarnya di Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam hari ini.

Berucap dalam slot Pentas Pimpinan petang ini, Ahli Parlimen Puchong berkenaan berkata, tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang terbabit dengan skandal berbilion ringgit itu.

“Kalau kita berjaya kaji semula kes, bila ada bukti kita akan ambil tindakan cukup-cukup ke atas mereka.

“Berbilion-bilion wang dibelanjakan di Amerika. Kita akan pastikan semua aset yang terlibat dalam 1MDB dipulangkan kembali ke negara ini,” jelasnya.

Gobind berkata, Pendaftar Pertubuhan (ROS) juga perlu direformasikan memandangkan permohonan pendaftaran Pakatan Harapan masih belum diluluskan.

“Kita sebagai Pakatan baru Pakatan Harapan minta ROS didaftarkan.

“Sehingga sekarang ROS tidak meluluskan pendaftaran. Saya mendesak ROS meluluskan pendaftaran Pakatan Harapan,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan BN usah memperlekeh Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, Bersatu, AMANAH dan DAP itu.

“Kita bersatu untuk menghadapi BN. Jangan main-main dengan Pakatan Harapan.

“Kita menunjukkan (keputusan) dalam 2008, kita bersatu, kita menang di lima kerusi.

“Pada 2013, juga kita terbukti kuat dan bersatu.

“Walaupun bertubi-tubi kita ditekan tapi kita makin kuat. Tahun 2018 ini kita bakal mencipta sejarah tubuh kerajaan baru di Putrajaya,” ujarnya.

Pada masa sama, Ketua Biro Undang-Undang DAP itu turut mengingatkan tentang kewujudan Majlis Keselamatan Negara.

“Kita juga perlu berhati-hati dengan penubuhan Majlis Keselamatan Negara,” tambah Gobind lagi.