Malaysia Dateline

Kita lihat Abahkau kuat atau Bossku berpengaruh di Sabah, cabar penyokong Najib

Penyokong Datuk Seri Najib Razak mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan calonnya atas tiket Bersatu dan bertanding melawan Barisan Nasional (BN) di Sabah.

“Saya cabar Muhyiddin agar bertanding di Sabah dengan mengguna tiket PPBM.

LOKMAN NOOR ADAM, JURUCAKAP NAJIB

“Kita lihat nanti samada Abahkau kuat atau Bosku yang lebih berpengaruh di Sabah,” kata Lokman Noor Adam, bekas anggota Majlis Tertinggi Umno yang merupakan penyokong kuat Najib.

Ia berdasarkan kenyataan Muhyiddin agar Bersatu meletakkan calon di Sabah dengan menggunakan pengaruh beliau.

Abah adalah nama timangan Muhyiddin bagi penyokong beliau manakala Bossku adalah nama timangan untuk Najib bagi penyokong beliau.

Lokman berkata, Barisan Nasional (BN) akan menyokong Datuk Bung Mokhtar Radin untuk mengetuai pasukan pilihan raya BN di Sabah.

“Kita sokong Bung Mokhtar, pengerusi BN Sabah agar BN tanding kesemua 72 kerusi dan tidak ada satupun yang perlu bagi kepada Bersatu,” kata Lokman melalui siaran langsung menerusi facebook beliau.

Menurut Lokman, yang dianggap sebagai jurucakap Najib, BN akan meletakkan syarat bayaran RM100 juta kepada semua calon yang bertanding atas tiket BN agar mereka tidak melompat parti selepas menang nanti.

“Nak cari calon dan mesti ada janji RM100 juta supaya mereka tak lompat. Kalau setakat RM10 juta, ada orang yang mampu bayar kerana telah merompak wang negara selama 22 tahun,” katanya yang dipercayai ditujukan kepada Tun Dr Mahathir yang menjadi PM selama 22 tahun.