‘Kita mahu jauh lebih baik daripada sekarang’

‘Kita mahu jauh lebih baik daripada sekarang’

Penampilan sulung Rafizi Ramli malam tadi di pentas ceramah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyaksikan Naib Presiden PKR itu bertegas Malaysia perlu mendapatkan rawatan doktor.

Pengasas Invoke Malaysia berkenaan menyifatkan negara pada masa ini ‘sakit’ lantaran dibebani hutang dan keadaan ekonomi tidak menentu.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan ketika negara berada dalam sakit dan tenat dan sekarang berada dalam tempoh berubat bagi proses penyembuhan.

“Segala masalah ini perlu diselesaikan, kalau kita sakit, kita pergi jumpa doktor. Memang tempoh awal untuk berubat itu sakit tapi lama-lama kita akan sembuh.

“Sama macam Malaysia sekarang, adakah kita berpuas hati dengan keadaan Malaysia? Lebih baik tapi kita mahu jauh lebih baik daripada sekarang,” ujarnya.

Rafizi berkata demikian dalam program ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau malam tadi.

Beliau berpendapat keadaan Malaysia yang sedang sakit ketika ini boleh dipulihkan oleh gandingan dua orang doktor iaitu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Rafizi memberitahu ‘kehilangan’ beliau selama ini kerana masalah kesihatan.

Walaupun, bekas Ahli Parlimen Pandan itu menganggap lebih banyak perkara boleh dilakukan tetapi beliau yakin kedua-dua pemimpin veteran tersebut serta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekurang-kurangnya akan berterus-terang.

“Kalau Malaysia tiada duit, dia cakap tiada duit, kalau Malaysia boleh ada subsidi untuk kurangkan harga minyak, (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng telah laksanakan, kita mampu kita buat,” katanya lagi.

Mengulas tentang ‘kehilangannya’ hampir setahun selepas PRU-14, Rafizi memberitahu beliau mahu meluangkan lebih masa bersama keluarga selain masalah kesihatan dialaminya.

“Doktor suruh saya rehat dua tiga tahun tapi sebab tinggal tiga hari untuk berkempen, saya turun juga ke Rantau,” tambahnya lagi.

Ribuan penduduk Rantau hadir ceramah PH malam tadi.