‘Kita menang kerana tiada duit, Umno kalah sebab lebih duit’

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengingatkan kepada semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) agar mengambil iktibar daripada kekalahan teruk BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang berpunca daripada salah guna wang.

Berbeza dengan PH yang tidak mempunyai banyak wang, Menteri Pertahanan tersebut berkata, kerjasama keempat-empat parti iaitu AMANAH, PKR, Bersatu dan DAP membolehkan blok politik itu mendapat mandat daripada rakyat.

“Kita menang dalam pilihan raya di antaranya kerana kita tidak cukup duit. Kita bantu-membantu, bekerjasama secara sukarela menyebabkan kita menang.

“Umno kalah sebab dia lebih duit sehingga polis dan SPRM menggeledah, ratusan juta (ringgit) masih berada di rumah,” ujarnya ketika berucap sempena Rumah Terbuka Aidilfitri AMANAH Shah Alam di perkarangan Stadium Shah Alam hari ini.

Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu berkata, wang hanya sebagai alat untuk bekerja bukan matlamat kerana itulah yang mengundang kekalahan BN.

“Peringatan kepada kita semua supaya parti-parti kita – AMANAH, PKR, Bersatu, DAP – InsyaAllah, kita tidak akan menjadi BN.

“Ini harapan kita supaya perkara yang berlaku menjadi iktibar kepada kita,” tegasnya dalam sambutan Aidilfitri julung-julung kali diadakan selepas PH mendapat mandat pada 9 Mei lalu.

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat pada masa ini menilai kerajaan PH sedia ada selepas mereka menjatuhkan BN.

“Ini peringatan kepada kita yang baru ambil alih kuasa. Peringatan itu juga kepada kita yang memerintah. Kalau kita juga menjadikan wang sebagai matlamat kita juga akan kalah seperti BN.

“Kalau kita lakukan hal yang sama, kita akan dihukum oleh rakyat seperti mereka menghukum BN. Peringatan ini perlu kepada diri saya yang bercakap ini.

“Kita ingatkan di peringkat awal ini bahawa kita insaf apabila kita mendapat kuasa ini, kita telah diperhatikan oleh rakyat,” kata Timbalan Presiden PH itu lagi.

Turut hadir dalam program anjuran Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam itu ialah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Exco Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi AMANAH negeri, Izham Hashim dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

8.7
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 8.0