Malaysia Dateline

Kita mesti menghormati semangat Perlembagaan, kata Anuar Tahir

Polemik berterusan berkaitan isu kaum dan agama serta kepentingan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera dibimbangi mudah mengundang keadaan di luar kawalan.

Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, hal tersebut lebih banyak disensasikan ketika hak setiap rakyat Malaysia sudah sedia dijamin termaktub dalam Perlembagaan.

“Rakyat Malaysia yang berbilang kaum harus mengurangkan sentimen tajam perkauman dan agama.

“Tiada siapa untung sebaliknya negara boleh hancur. Lihat apa yang berlaku di negara-negara Asia Barat, hancur satu demi satu,” tegasnya.

Anuar Tahir

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Dateline selepas majlis berbuka puasa anjuran Sekretariat Nasional AMANAH di Pusat Membeli Belah Pavilion, Kuala Lumpur semalam.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kerja Raya berkenaan menyeru semua pihak menghormati semangat Perlembagaan dan mengambil iktibar daripada pengalaman hidup bernegara sepanjang 62 tahun kemerdekaan tanah air ini.

“Saya harap kita semua menghormati semangat Perlembagaan. Kita ada Perlembagaan negara yang terbaik dalam memelihara hak segenap lapisan rakyat tanpa mengira warna kulit,” ujarnya.

Dalam masa sama, Anuar yang juga Ahli Parlimen Temerloh mengingatkan ahli dan penyokong Pakatan Harapan (PH) serta AMANAH khususnya agar berwaspada berkongsikan maklumat yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

“Saya berharap kepada semua rakyat bermula dengan ahli-ahli parti terlebih dahulu kena faham dan dapat yang sahih terlebih dahulu

“Jangan mudah membuat tuduhan dan menyebarkan khabar angin atau berita yang kurang tepat.

“Moleknya sempena bulan mulia Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang tiba ini kita sama-sama memaafkan dan fokus memajukan tanah air juga pada masa sama mengekalkan keamanan negara ini,” tambahnya lagi.