Malaysia Dateline

Kita perlu orang baru dalam politik

Saya mengajak rakan-rakan, terutamanya anak-anak muda, yang mempunyai semangat untuk membantu membina semula negara ini, samada dari golongan professional, usahawan, sarjana, cerdik pandai, aktivis NGO dan masyarakat, dan sebagainya … marilah sama-sama terjun dalam bidang politik.

Terus terang saya sebut, kualiti kebanyakan aktivis politik di negara kita sangat mengecewakan. We need a lot of fresh new blood to be injected into political mainstream. We need more quality minds and new talents to revive our existing destructive political culture and practices.

Dunia politik bukan dunia yang mudah kiranya kita benar-benar mahu berjuang untuk rakyat dan negara. Masuklah mana-mana parti pun, yang penting nawaitu dan tindakan kita mesti betul. Tidak ada parti yang serba baik dan tidak ada parti yang serba jahat. Pertembungan politik dalam kerangka demokrasi bukan pertembungan antara kuasa putih dan kuasa hitam, bukan antara geng baik dan geng jahat, bukan antara Islam dan kufur, bukan antara golongan suci dan golongan noda.

Pertembungan politik adalah persaingan idea, naratif, hujah, pencapaian, dan pemikiran. Anda tidak jadi orang baik hanya dengan menyertai mana-mana parti politik tertentu sebagaimana anda tidak jadi orang jahat hanya kerana menyertai sesuatu parti politik tertentu. Parti politik tidak menentukan urusan dosa atau pahala, sebagaimana ia tidak menentukan tentang syurga atau neraka. Itu semua adalah urusan Tuhan Yang Maha Adil Lagi Bijaksana.

Apa yang penting, terlibatlah dalam politik dan perbetulkan apa yang salah dengan nawaitu yang betul. Boleh jadi segala kerja buat kita sepanjang terlibat dalam urusan politik ini menjadi amal sholeh di sisi Allah SWT.

Semua orang boleh komen dan memberi pelbagai pandangan tentang politik negara, tetapi anda hanya boleh menjadi ajen perubahan dengan melibatkan diri secara langsung dalam sistem politik.

Kejahatan itu tersebar luas bukan kerana ramainya orang jahat, tetapi kerana tidak cukup ramai orang-orang baik yang peduli.