“Saya Melayu. Saya sayang kepada bangsa dan bahasa Melayu. Tetapi kita perlu beri pertimbangan kepada kemajuan bangsa.
“Sebenarnya jika sayang kepada bangsa, utamakan kejayaan sebagai satu bangsa dan kemajuannya lebih dari hanya kegunaan bahasa sendiri sahaja.
“Fikirlah baik-baik. Pepatah berkata “Sayang anak, tangan-tangankan, sayang isteri, tinggal-tingalkan”
“Sayang bangsa utamakan kejayaan bersaing lebih dari hanya bertutur kata dalam bahasa sendiri.”
Demikia kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menyentuh mengenai penguasaan ilmu terutama penguasaan kepada Bahasa Inggeris dalam pendidikan kebangsaan.
Kata beliau mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kerana bahasa itu bukan hasil terokaan dalam bahasa kebangsaan.
“Hampir semuanya datang dalam bahasa Inggeris. Kita boleh terjemah ke bahasa kita tetapi pendekatan kita berbeza dalam bidang ini. Sains adalah hasil dari hasrat menentukan sesuatu yang sebenar.
” Ilmu sains datang kepada kita, kebanyakannya dalam Bahasa Inggeris. Kita boleh terjemah kepada bahasa kita. Tetapi perkataan-perkataan yang diguna bukanlah bahasa Inggeris biasa.
“Terjemahan kepada bahasa kita mungkin tidak menggambarkan makna yang sebenar.
“Lagi pun sains bukan ilmu yang statik. Tiap hari ada sahaja perkara baharu yang dikenali dan diperalatkan. Untuk memahami, dan menterjemah dan tafsir ke dalam bahasa kita amatlah sukar.
“Tidak mungkin kita punyai pakar sains yang akan terjemah hasil selidik berpuluh-puluh kertas selidik dalam pelbagai bidang tiap hari. Jika kita tidak mempunyai ilmu yang terbaharu kita akan ketinggalan kerana
tidak mengguna ilmu ini,” ujarnya.
Beliau yang juga pemangku Menteri Pendidikan bercakap dalam Majlis Amanat dan Aspirasi Pendidikan bersama warga Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) Putrajaya hari ini.